Sarawak Perkukuh Kerjasama Dengan New Zealand Dalam Sektor Industri Makanan
WELLINGTON: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) memperkukuhkan kerjasama dengan New Zealand dalam sektor industri makanan khususnya inovasi pertanian, latihan veterinar, pembangunan industri tenusu dan peningkatan sistem biosekuriti.
Menterinya, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dalam satu pertemuan dengan Menteri Biosekuriti dan Keselamatan Makanan New Zealand merangkap Timbalan Menteri Pertanian (Kebajikan Haiwan dan Kemahiran) serta Timbalan Menteri Alam Sekitar, Andrew Hoggard, menyatakan hasrat Sarawak untuk memperkukuh kolaborasi dengan New Zealand melalui pertukaran pengetahuan, sistem pembiakan moden serta penambahbaikan amalan ladang dan sistem jejak ternakan.
“Sarawak juga merancang menghantar pegawai veterinar untuk menjalani latihan profesional dan penempatan teknikal di New Zealand bagi meningkatkan kepakaran serta pengalaman lapangan.
“Selain itu, Sarawak juga berminat untuk meneroka peluang pelaburan bersama dalam sektor tenusu melalui perkongsian teknologi dan potensi usaha sama dengan pengeluar New Zealand,” ujar beliau menerusi satu kenyataan, pada Selasa.
Berikutan sekatan eksport lembu hidup oleh negara itu, Sarawak sedang meneliti alternatif untuk mengimport semen lembu dari New Zealand bagi mempertingkatkan kualiti baka dan mempercepatkan pengembangan ternakan tempatan.
Dalam pada itu, Dato Sri Dr Stephen Rundi turut menyatakan minat terhadap sistem biosekuriti New Zealand yang terkenal di peringkat global, termasuk kawalan sempadan, rangkaian pemantauan penyakit serta mekanisme tindak balas kecemasan.
Beliau berkata, pengalaman tersebut amat berharga dalam memperkukuh kesiapsiagaan veterinar dan keselamatan makanan di Sarawak.
“Model kejayaan New Zealand berasaskan pendekatan menyeluruh yang menggabungkan dasar, penyelidikan dan pelaksanaan di lapangan. Sarawak berhasrat menyesuaikan amalan terbaik ini bagi membina sektor ternakan yang berdaya tahan dan berdaya saing di peringkat global,” jelas beliau.
Selepas kunjungan hormat itu, delegasi Sarawak turut menghadiri siri taklimat teknikal di Kementerian Industri Utama (MPI) yang disampaikan oleh pegawai kanan termasuk Jim Sim, Dr Jed Johnson, Dr Lia Missena dan Glen Webber.
Taklimat tersebut meliputi perkhidmatan verifikasi, sistem jaminan halal serta program pemantauan kesihatan haiwan, sekali gus memberi pencerahan mendalam terhadap sistem peraturan keselamatan makanan, pensijilan halal dan tadbir urus kesihatan haiwan di New Zealand.
Beliau menegaskan bahawa kerjasama ini menjadi satu lagi langkah penting ke arah menjalin hubungan jangka panjang dalam penyelidikan ternakan, pembinaan kapasiti veterinar, pelaburan tenusu dan pengurusan biosekuriti.
“Kami komited untuk menyelaraskan sektor makanan dan komoditi Sarawak dengan amalan terbaik antarabangsa. Kerjasama ini akan mempercepatkan usaha Sarawak menjadi negeri pengeluar makanan yang bersih dan berdaya saing menjelang tahun 2030,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri M-FICORD Datuk Martin Ben, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Datu Dr Adrian Susin Ambud, Setiausaha Kanan Bahagian Liew Ju Jeng, Pegawai Veterinar Kanan Dr Sylie Al-Harir, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand Mazita Marzuki serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS