Kerajaan Sarawak Tekankan Pendidikan STEAM Lahir Generasi Mahir & Berdaya Saing
TATAU: Kerajaan Sarawak terus memberi penekanan terhadap bidang pendidikan berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) bagi melahirkan generasi muda yang berkemahiran tinggi serta mampu memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor teknikal di negeri ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, usaha memperkukuh pendidikan STEAM amat penting bagi menyediakan pelajar dengan kemahiran abad ke-21, sejajar dengan perkembangan automasi, pendigitalan dan globalisasi.
“STEAMify bukan sekadar satu karnival, tetapi platform dinamik yang memberi peluang kepada murid untuk berfikir, mencipta dan menyelesaikan masalah menggunakan pengetahuan dalam bidang STEAM,” ujar beliau semasa Majlis Penutupan STEAMify Explorafest Carnival 2025 di SK Sungai Bagiau di sini, pada Selasa.
Beliau menegaskan, program seperti ini bukan sahaja melatih pelajar agar berfikiran kritikal dan kreatif, malah membina keupayaan komunikasi yang baik bukan hanya untuk menyesuaikan diri dalam dunia kerja, tetapi juga untuk menerajui masa depan.
Tambah beliau, fokus pendidikan sedemikian amat penting bagi melahirkan tenaga mahir yang diperlukan di kawasan perindustrian seperti Samalaju, Bintulu, selaras dengan hala tuju pembangunan ekonomi negeri berasaskan pengetahuan dan teknologi.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis serta pegawai-pegawai kanan kementerian dan Jabatan Pendidikan Daerah Tatau/Sebauh.-EDISI UKAS