Jabatan Pertanian Sarawak Bantu Tingkat Kefahaman & Kemahiran Pengurusan Tanaman Kelapa
KUCHING: Jabatan Pertanian Sarawak telah menganjurkan seminar ‘Strengthening Coconut Farming – From Importation to Farm Management’ bagi membantu peserta untuk meningkatkan kefahaman dan kemahiran mereka dalam pengurusan tanaman kelapa.
Pengarahnya, Dominic Chunggat berkata, antara fokus utama seminar ini adalah proses pengimportan bahan tanaman, keperluan pensijilan Skim Pengesahan Bahan Tanaman, amalan agronomi serta isu perosak dan penyakit tanaman dalam pengurusan kelapa.
“Seminar ini bertujuan memperkukuh sistem biosekuriti tumbuhan bagi mengurangkan risiko kemasukan dan penyebaran perosak asing serta memastikan kelestarian pertanian di Sarawak terutama dalam tanaman-tanaman yang menjadi fokus utama di Sarawak seperti tanaman kelapa,” ujarnya menerusi kenyataan media, pada Selasa.
Menurut kenyataan yang sama, peserta yang terlibat diberi pendedahan berkaitan dasar dan prosedur pengimportan bahan tanaman kelapa, meningkatkan pengetahuan peserta mengenai amalan agronomi, ancaman perosak, penyakit serta langkah kawalan besepadu dan kepentingan menggunakan bahan tanaman yang berkualiti selain dapat membuka ruang kerjasama strategik antara pengimport, pengeksport, penyelidik, usahawan dan agensi-agensi berkaitan.
Seramai 157 orang peserta yang terdiri daripada pengimport, pengeksport bahan tanaman kelapa, pengusaha, penanam kelapa, usahawan, pengilang produk berasaskan kelapa, penyelidik tanaman, perosak, penyakit kelapa, institusi pengajian tinggi tempatan pegawai pertanian dan agensi-agensi berkaitan telah hadir ke program tersebut.
Program ini turut menjemput dua orang pengusaha tanaman dan produk kelapa untuk sesi perkongsian iaitu Daniel Yoo daripada Cocolin Sdn Bhd dan Dr Ho Soo Ying daripada Orchard House Sdn Bhd. -EDISI UKAS