Gereja Methodist Chiew Cho Terima Bantuan RM60,000 Daripada UNIFOR
SIBU: Gereja Methodist Chiew Cho menerima bantuan berjumlah RM60,000 daripada Unit Hal Ehwal Agama Lain (UNIFOR) bagi tujuan menaik taraf kemudahan tandas dan kawasan tempat letak kereta untuk keselesaan jemaah.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee, berkata bantuan tersebut merupakan antara usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan rumah ibadat bukan Islam turut menikmati kemudahan yang selesa dan kondusif.
“Ini merupakan kali kedua gereja ini menerima bantuan daripada UNIFOR.
“Kali ini, bantuan digunakan untuk menaik taraf tandas serta menambah baik kawasan parkir bagi kegunaan jemaah,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan dana di gereja berkenaan, pada Rabu.
Datuk Dr Annuar menambah, ini merupakan kali kedua gereja tersebut menerima bantuan daripada UNIFOR selepas menerima RM30,000 pada peruntukan pertama sebelum ini.
“UNIFOR ialah satu inisiatif unik di Sarawak yang menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap semua agama.
“Ini membuktikan bahawa kita mengamalkan perpaduan dan keharmonian antara masyarakat berbilang kaum,” ujarnya.-EDISI UKAS