Penyertaan Meluas Meriahkan Perlumbaan Bot Laju Pesta Meradong 2025
BINTANGOR: Perlumbaan bot laju sempena Pesta Meradong 2025 menerima penyertaan meluas bukan sahaja dari Meradong, tetapi juga dari pelbagai daerah seluruh Sarawak termasuk kawasan selatan dan utara negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Ding Kuong Hiing menyifatkan penganjuran kali ini antara paling berjaya susulan mencatatkan penglibatan yang menggalakkan.
“Ini adalah satu perkembangan yang sangat menggalakkan.
“Saya juga ingin menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan dan Pembangunan Usahawan kerana menyalurkan geran bagi penganjuran Pesta Meradong tahun ini,” katanya ketika ditemui media di sini, pada Jumaat.
Menyentuh mengenai pesta kali ini, Datuk Ding berharap kementerian dapat mempertimbangkan tambahan peruntukan pada tahun hadapan supaya perlumbaan bot laju bagi tahun 2026 dapat dianjurkan dengan skala yang lebih besar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi kerajaan yang terlibat dalam menjayakan pelbagai aktiviti sepanjang pesta berlangsung.
“Saya berharap sokongan ini dapat diteruskan bagi Pesta Meradong pada masa hadapan supaya acara seperti ini dapat berkembang dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” tambah beliau.
Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan pengunjung agar sentiasa berhati-hati ketika menghadiri perlumbaan bot laju demi memastikan keselamatan diri.
Datuk Ding juga menegaskan agar pihak berkuasa berkaitan, termasuk polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM), sentiasa bersedia bagi memastikan ketenteraman awam terpelihara dan tahap keselamatan pengunjung berada pada tahap terbaik sepanjang pesta.
Pesta Meradong 2025 bukan sahaja berjaya menghidupkan suasana meriah di Bintangor, malah turut mencerminkan keupayaan daerah ini menganjurkan acara bertaraf antarabangsa yang dapat menarik minat pelbagai lapisan masyarakat.-EDISI UKAS