Projek MMMLL Buka Lembaran Baharu Pembangunan Kawasan Baram
MARUDI: Pelancaran Projek Jalan Miri–Marudi–Mulu–Long Lama (MMMLL) membuka lembaran baharu yang akan membawa pembangunan kawasan Baram secara menyeluruh.
Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil berkata projek tersebut bukan sekadar pembinaan laluan baharu, tetapi merupakan pemangkin utama kepada kesalinghubungan, keselamatan dan kemajuan sosioekonomi masyarakat setempat.
“Hari ini merupakan permulaan kepada transformasi komprehensif Baram daripada sebuah kawasan pendalaman kepada wilayah yang progresif dan berdaya saing,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Jalan MMMLL yang dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Sabtu.
Mengimbas kembali ketika mula memegang amanah sebagai wakil rakyat pada tahun 2016, beliau menjelaskan bahawa keadaan jalan yang daif antara Miri dan Marudi serta tempoh perjalanan yang mencecah tiga jam telah memberikan tekanan besar kepada penduduk.
Bagi menanganinya, beliau mengambil pendekatan profesional dengan menyediakan satu Pelan Induk Pembangunan yang merangkumi keseluruhan kawasan Marudi, Bakong dan Tinjar.
“Daripada cadangan asal sehingga pelaksanaan hari ini, Projek MMMLL mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan penduduk Baram menikmati kemudahan terbaik,” ujar beliau.
Tambah Datuk Dr Penguang, Baram terus menerima perhatian kerajaan negeri menerusi kelulusan peruntukan berbilion ringgit untuk inisiatif pembangunan infrastruktur termasuk, pembinaan jalan raya dan jambatan,bekalan air luar bandar, bekalan elektrik luar bandar, peningkatan telekomunikasi dan pelbagai kemudahan asas lain.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan tersebut adalah selari dengan dasar “Rural Biased Development Policy” yang menekankan kesaksamaan pembangunan antara bandar dan luar bandar.-EDISI UKAS