Projek MMMLL Guna Kaedah Jalan Bertingkat, Lindungi Hutan dan Alam Sekitar
MARUDI: Kerajaan Sarawak menampilkan pendekatan pembinaan paling progresif dan mesra alam menerusi penggunaan kaedah ‘elevated road’ atau jalan bertingkat dalam Projek Jalan Miri–Marudi–Mulu–Long Terawan–Long Iman (MMMLL), memperlihatkan komitmen tinggi negeri terhadap kelestarian hutan dan ekosistem sensitif di Baram.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pembinaan jalan bertingkat di beberapa seksyen kritikal adalah strategi terbaik untuk mengurangkan pembukaan hutan, memelihara biodiversiti, serta memastikan pembangunan tidak menjejaskan habitat semula jadi.
“Jalan ini akan melalui kawasan hutan, pit area dan zon pergunungan. Jika kita guna kaedah konvensional, impaknya sangat besar.
“Sebab itu kerajaan mengambil pendekatan ‘elevated road’ agar pembangunan berjalan, tetapi alam sekitar tetap terpelihara,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Jalan MMMLL yang dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Sabtu.
Datuk Amar Douglas menambah, banyak negara maju seperti China dan Brunei telah menggunakan teknologi sama dan terbukti berkesan dalam melindungi ekosistem.
Katanya, projek bernilai RM3.8 bilion itu turut merangkumi jajaran sepanjang 142 kilometer laluan utama, termasuk jalan bertingkat di beberapa lokasi, dan 33 kilometer jalan akses (spur roads), serta melibatkan pembinaan sembilan jambatan utama dan 14 jambatan kecil.
“Kaedah pembinaan jalan bertingkat dipilih bagi meminimumkan impak kepada hutan, kawasan paya gambut dan sistem biodiversiti, selari dengan agenda Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menekankan kelestarian alam,” katanya.
Beliau yakin pendekatan ini membolehkan pembinaan disiapkan dalam tempoh 36 bulan, lebih cepat berbanding jadual asal 48 bulan.
“Projek MMMLL bukan hanya mempercepatkan mobiliti rakyat, malah membuka peluang ekonomi baharu termasuk pelancongan, pembangunan tanah, serta peningkatan aktiviti sosial dan komersial di kawasan pedalaman,” jelasnya yakin.
Hadir sama, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr Penguang Manggil, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen Dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dato Dennis Ngau, Ahli Parlimen Baram Dato Anyi Ngau, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Datu Ismawi Ismuni, Residen Bahagian Miri Galong Luang serta dif kehormat lain. -EDISI UKAS