Generasi Muda Mukah Aset Penting Pacu Kemajuan Sarawak
MUKAH: Generasi muda Mukah merupakan aset penting yang bakal menggerakkan pembangunan kawasan ini seiring dengan kemajuan pesat Sarawak dalam sektor tenaga termaju, ekonomi digital, TVET, keusahawanan serta transformasi teknologi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata, anak muda perlu berani melangkah keluar daripada zon selesa dan memandang jauh dalam merancang masa depan.
“Anak-anak muda Mukah perlu berani bermimpi besar, bukan sekadar mencari pekerjaan tetapi mencipta peluang.
“Masa depan Mukah dan Sarawak bergantung kepada keberanian, inovasi dan kesediaan anda membina masa depan sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Tingkatan 5 dan Anugerah Kemenjadian Murid 2025 Kali Ke-47 yang berlangsung di Dewan Utama Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Mukah pada Sabtu.
Royston turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua graduan Tingkatan 5 yang berjaya menamatkan sesi persekolahan mereka selepas melalui pelbagai cabaran, termasuk perubahan kaedah pembelajaran pasca pandemik, persaingan akademik serta penglibatan aktif dalam kokurikulum.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada penerima Anugerah Kemenjadian Murid yang menurutnya mencerminkan disiplin, kerja keras serta keyakinan diri yang tinggi dalam kalangan pelajar.
Royston turut menzahirkan harapan agar kejayaan yang diraih pada hari ini menjadi pemangkin kepada pencapaian lebih cemerlang oleh para pelajar pada masa hadapan.
Dalam majlis sama, beliau mengumumkan pemberian geran sebanyak RM30,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Patrick bagi menyokong pelaksanaan program pendidikan sekolah itu pada tahun hadapan.-EDISI UKAS