Projek MMMLL Buka Konektiviti Baharu Untuk Miri, Marudi, Mulu & Baram
MARUDI: Projek Jalan Miri–Marudi, Marudi–Mulu (Kuala Melinau) serta Long Lama–Long Panai (MMMLL) menjadi titik baharu era konektiviti di kawasan utara Sarawak, mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan infrastruktur asas yang mampu membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, projek MMMLL merupakan inisiatif infrastruktur berskala besar Kerajaan Sarawak bagi meningkatkan jaringan jalan raya dan keterhubungan di kawasan utara negeri ini.
"Pembinaan jalan baharu bernilai RM3.8 bilion yang dijangka siap dalam tempoh 48 bulan bakal membuka laluan ekonomi baharu dan memberi impak besar kepada pembangunan Baram.
"Projek ini akan menyediakan rangkaian perhubungan yang lebih selesa, termasuk pengurangan masa perjalanan antara Miri dan Mulu daripada sekitar 9 jam kepada hanya 2 jam.
"Perubahan ini sekali gus menjimatkan hampir 6 jam masa perjalanan, menjadikan akses ke kawasan pelancongan dan penempatan luar bandar lebih efisien," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Projek MMMLL di Marudi Light Industrial Area pada Sabtu.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, pembinaan projek MMMLL ini akan meningkatkan sektor pelancongan melalui konektiviti yang baharu terutamanya ke Mulu yang kini Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Selain itu jelasnya, laluan ini memberikan impak besar kepada ekonomi dan pendapatan penduduk tempatan, membuka peluang pertanian dan aktiviti hiliran untuk membolehkan masyarakat mengeksport hasil melalui Miri dalam masa dua jam perjalanan.
Malah katanya, jalan ini juga bakal menjadi talian hayat untuk kes kecemasan dan rawatan perubatan, memudahkan pesakit mendapatkan rawatan ke Miri serta meningkatkan mutu pendidikan anak luar bandar Sarawak.
"Kalau kita lihat daripada kampung, rumah panjang dan sekolah yang ada sekarang menghadapi pelbagai masalah dari sudut kemudahan dan akses.
"75,000 penduduk Baram akan mendapat manfaat daripada jalan baharu ini," ujarnya.
Projek ini merangkumi 142 kilometer jajaran utama serta 33 kilometer jalan sambungan, dan dilaksanakan melalui dua pakej dengan pakej pertama melibatkan jajaran Miri–Marudi dan Long Panai–Long Lama, manakala pakej kedua merangkumi jajaran Marudi–Kuala Melinau, Mulu di mana ia akan siap menjelang 2030.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi Datuk Dr Penguang Manggil, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen Dan Pemantauan Projek) merangkap ADUN Mulu Datuk Gerawat Gala, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, ADUN Telang Usan Dato Dennis Ngau, Ahli Parlimen Baram Dato Anyi Ngau, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Datuk Ismawi Ismuni, Residen Miri Galong Luang serta dif kehormat lain. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Jurugambar : Mohamad Ishya Sabu