Jalan Balak Di Seluruh Sarawak Akan Dinaik Taraf Sebagai Jalan Awam
MARUDI: Semua jalan balak yang menghubungkan rumah panjang dan kampung di seluruh Sarawak akan diubah status menjadi jalan awam dan dinaik taraf menggunakan dana kerajaan tersendiri.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pelaksanaan ini akan dijalankan oleh kerajaan Sarawak, dan sudah ada pasukan petugas di bawah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk menaik taraf jalan tersebut.
"Ini bukan sekadar retorik kerana kita akan membangunkan jalan ini menggunakan dana Sarawak sendiri sebab kita tidak dapat menunggu pihak lain.
"Untuk mencari dana buat projek, serah kepada saya sebab itu memang tanggungjawab saya sebagai pemimpin," katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Projek Jalan Miri–Marudi, Marudi–Mulu (Kuala Melinau) serta Long Lama–Long Panai (MMMLL) di Marudi Industrial Light Area pada Sabtu.
Tambahnya, projek jalan MMMLL menjadi contoh untuk membina jalan balak yang akan menghubungkan rumah panjang dan masyarakat di Baram.
Tegasnya, selaras dengan projek MMMLL, projek jalan balak juga perlu siap dalam tahun 2030 agar dapat digunakan oleh rakyat untuk memudahkan urusan seharian mereka.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, projek MMMLL juga akan menggunakan pendekatan baru iaitu 'elevated road' yang dibina bertiang bagi mengelakkan kerosakan tanah dan memastikan jalan lebih stabil.
Ujarnya, kaedah ini juga melibatkan penggunaan Highway Information Modeling (HIM) untuk simulasi digital sebelum pembinaan, termasuk faktor hujan dan angin.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr Penguang Manggil, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen Dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, ADUN Telang Usan Dato Dennis Ngau, Ahli Parlimen Baram Dato Anyi Ngau, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Datuk Ismawi Ismuni, Residen Bahagian Miri Galong Luang serta dif kehormat lain. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Jurugambar: Jurugambar : Mohamad Ishya Sabu