AIFFA 2025 Perkukuh Kedudukan Sarawak Dalam Industri Kreatif ASEAN
KUCHING: Anugerah Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2025 memperkukuhkan kedudukan Sarawak dalam industri kreatif serantau apabila menutup tirainya dengan penuh gemilang di sebuah hotel termuka di sini, pada malam Sabtu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, hadir memeriahkan majlis malam gala berkenaan, bukti komitmen Sarawak dalam memajukan industri kreatif dan memperluaskan pengaruh budayanya.
Kehadiran pelakon antarabangsa, Simon Yam, menambah daya tarikan global kepada acara itu, disokong oleh persembahan daripada artis-artis terkemuka ASEAN.
Festival tahun ini mencatat 200 penyertaan, jumlah tertinggi sejak penubuhannya, menandakan keyakinan serantau terhadap AIFFA dan komitmen pengarah filem ASEAN dalam memartabatkan penceritaan budaya.
Pengarah Festival, Livan Tajang berkata, peningkatan penyertaan ini menunjukkan kepercayaan penggiat seni serantau terhadap AIFFA serta komitmen mereka dalam memartabatkan kerjasama budaya.
Ketua Juri, U-Wei Haji Saari, menggambarkan edisi kali ini sebagai “rekod tertinggi,” manakala juri antarabangsa, Herman Van Eyken, menyifatkan filem-filem yang dipersembahkan sebagai karya yang merentasi budaya dan identiti.
AIFFA 2025 turut mengiktiraf karya serantau yang cemerlang, antaranya filem Filipina, The Gospel of the Beast bagi Skrip Terbaik, filem Vietnam Inside the Yellow Cocoon Shell yang memenangi Penyuntingan Filem Terbaik serta Pengarah Terbaik, dan filem Kemboja Tenement sebagai Filem Terbaik.
Malaysia turut meraikan kejayaan melalui Sweet Qismina dan Wu Kang-Ren, manakala Indonesia dan Brunei juga meraih pengiktirafan utama.
Malam itu turut memberi penghormatan kepada ikon serantau, termasuk pengarah filem Filipina, Lav Diaz yang menerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup, manakala pelakon Hong Kong, Simon Yam menerima Anugerah Inspirasi ASEAN.
Festival berakhir dengan seruan memperkukuh kerjasama serantau, dengan penganjur menegaskan peranan AIFFA dalam menaikkan profil filem ASEAN serta meluaskan jejak kreatif Sarawak.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Sri Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan-Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan dan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew serta dif-dif kenamaan lain. -EDISI UKAS