Program “Kamek Prihatin, Kitak Penting” Dekatkan Perkhidmatan Kerajaan Kepada Rakyat
ASAJAYA: Program Outreach Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) bagi Zon Samarahan yang berlangsung di Dewan Sebandi Ulu pada Sabtu terus mengukuhkan usaha kerajaan negeri mendekatkan perkhidmatan sosial kepada masyarakat luar bandar.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap ADUN Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, Ahli Dewan Negara, Dato’ Ahmad Ibrahim, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah serta Setiausaha Tetap KPWK, Datu Felicia Tan Ya Hua.
Dalam ucapannya, Dato Sri Fatimah menegaskan bahawa Program Outreach merupakan komitmen berterusan kerajaan Sarawak untuk turun padang, mendengar suara rakyat dan memastikan setiap komuniti menerima perkhidmatan sosial secara menyeluruh.
Beliau berkata siri Outreach ini merupakan kesinambungan program rintis di Kampung Rayu, Matang yang kemudiannya diperluas ke Bau, Serian, Sibu, Kapit dan kini Asajaya sebagai tuan rumah Zon Samarahan.
Beliau menambah bahawa kejayaan program tidak diukur melalui angka semata-mata, tetapi melalui keyakinan rakyat bahawa kerajaan memahami keperluan mereka.
Justeru, kerjasama agensi pelaksana seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) Pejabat Daerah Asajaya, Simunjan dan Sebuyau serta peranan Wanita PBB sebagai penggerak lapangan amat dihargai dan menjadi nadi kelancaran program.
Bagi tempoh Januari hingga September 2025, JKMS telah menyalurkan RM224,008,150 kepada 57,001 penerima bantuan bulanan di seluruh Sarawak.
Bantuan yang disalurkan merangkumi pelbagai kategori termasuk bantuan warga emas, kanak-kanak, OKU, pesakit kronik, bantuan am dan sokongan belia OKU mengikut kelayakan masing-masing.
Selain itu beliau berkata, KPWK turut melaksanakan pelbagai inisiatif kesejahteraan seperti Bantuan Ibu Bersalin (RM450) yang telah meluluskan 87,204 permohonan sejak 2020, serta Endowment Fund Sarawak (RM1,000 bagi setiap kelahiran), dengan 139,014 akaun dibuka melibatkan perbelanjaan RM139 juta.
Kerajaan Sarawak juga memperkukuh pendidikan awal melalui Geran Tahunan Khas RM5,000 kepada institusi IPAKK serta Subsidi Yuran Pengasuhan untuk keluarga berpendapatan rendah.
Dalam sektor kesihatan pula beliau berkata, Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang (BKPBP) telah membantu 837 pesakit dengan peruntukan RM14.907 juta termasuk sokongan dialisis dan ubat-ubatan.
Kenyalang Gold Card pula direkodkan mempunyai 342,419 pemegang sehingga September 2025, manakala Bantuan Ihsan Kematian (BIK) bernilai RM1,800 telah diberikan kepada 26,790 waris.
Tambah beliau, usaha pemberdayaan ekonomi turut diperkasa menerusi Geran Usahawan Wellbest yang memanfaatkan 2,135 usahawan kumpulan rentan dan Bantuan Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak (KIRWaS) yang membantu 1,828 ketua isi rumah wanita berpendapatan rendah.
Sementara itu, Dato Sri Abdul Karim Rahman menyifatkan program seumpama ini sebagai bukti bahawa kerajaan sentiasa dekat dengan rakyat.
Katanya, kehadiran agensi negeri dan persekutuan di lapangan memberi kemudahan kepada masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan tanpa perlu ke bandar, sekali gus meningkatkan keyakinan serta kebersamaan masyarakat.
Beliau turut menggalakkan penduduk yang hadir untuk berkongsi maklumat yang diperoleh kepada komuniti masing-masing bagi memperkukuh jaringan sosial dan ketahanan keluarga.
Majlis turut menyaksikan penyampaian simbolik Endowment Fund Sarawak, Bantuan Ibu Bersalin, Bakul Makanan dan Bantuan Program Low Income Family Empowerment (LIFE) oleh Dato Sri Fatimah.
Program yang menghimpunkan penduduk daripada 10 kawasan DUN dalam Zon Samarahan itu menerima sambutan menggalakkan dan mencerminkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pembangunan sosial serta kesejahteraan komuniti yang berterusan.-EDISI UKAS