Hari Kanak-Kanak Pesta Meradong 2025 Semarak Kreativiti Kanak-Kanak Prasekolah
BINTANGOR: Sambutan Hari Kanak-Kanak sempena Pesta Meradong 2025 berlangsung meriah apabila 150 kanak-kanak prasekolah dari seluruh Bintangor berkumpul bagi menyertai program berteraskan kreativiti, pembelajaran interaktif dan pembangunan awal kanak-kanak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, penganjuran itu merupakan wadah penting dalam memperkaya pengalaman awal kanak-kanak melalui aktiviti yang menggalakkan perkembangan menyeluruh.
“Melalui program tersebut, ia membolehkan mereka mengekspresikan idea dan bakat melalui pelbagai aktiviti yang menggalakkan kreativiti serta perkembangan menyeluruh,” katanya ketika merasmikan program berkenaan pada Sabtu.
Menurut beliau, penganjuran itu turut mempromosikan kesejahteraan, menggalakkan kehidupan sihat dan meningkatkan kreativiti kanak-kanak selain menyokong pembelajaran berkualiti melalui pendekatan terancang serta inklusif.
Datuk Ding berkata, program tersebut juga menitikberatkan penyediaan akses pendidikan prasekolah secara sama rata kepada semua kanak-kanak, sekali gus memperkukuh keharmonian dan hubungan baik antara penganjur, peserta dan komuniti setempat.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada penganjur yang komited menyediakan platform untuk memupuk kreativiti dan imaginasi kanak-kanak melalui kaedah pembelajaran yang menyeronokkan serta interaktif.
Selain hiburan dan aktiviti santai, program tersebut turut memberi penekanan terhadap pembangunan holistik seperti pendidikan asas, nilai rohani dan pembentukan sahsiah yang menjadi teras pendidikan prasekolah.
Kesemua aktiviti tersebut memberi ruang kepada peserta menonjolkan kreativiti, kerjasama dan keyakinan diri.-EDISI UKAS