Kerajaan Sarawak Utamakan Kebajikan 80 Mangsa Kebakaran Kampung Wireless
MIRI: Keprihatinan terhadap nasib 80 mangsa kebakaran Kampung Wireless terserlah apabila Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki turun padang meninjau sendiri keadaan mereka di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bulan Sabit Merah Miri pada Ahad.
Lawatan ini bagi memastikan setiap mangsa mendapat perlindungan, bantuan dan perhatian sewajarnya selepas kebakaran yang memusnahkan tujuh rumah dan sebuah kedai pada petang 15 November lepas.
Dalam sesi taklimat yang disampaikan, beliau dan rombongan diberikan gambaran terperinci mengenai penempatan sementara, penyediaan keperluan asas, aspek logistik serta status bantuan segera dan susulan yang sedang dilaksanakan.
Penekanan turut diberikan kepada keperluan memastikan bayi dan kanak-kanak menerima persekitaran selamat serta kemudahan mencukupi merangkumi makanan, pakaian, kesihatan dan sokongan psikososial sepanjang berada di PPS.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew menegaskan bahawa penyelarasan bantuan antara agensi kekal sebagai keutamaan bagi memastikan keperluan jangka pendek dan jangka panjang mangsa dapat disusun rapi serta dilaksanakan secara berkesan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bulan Sabit Merah, badan kebajikan serta sukarelawan atas tindakan pantas sejak awal kejadian.
Siasatan punca kebakaran dan penilaian kerugian juga sedang giat dijalankan sebagai langkah awal proses pemulihan.
Lawatan tersebut menggambarkan usaha tersusun kerajaan negeri dalam memastikan semua mangsa tidak terpinggir, sebaliknya menerima sokongan berterusan sehingga mereka kembali stabil.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Miri, Galong Luang, Pegawai Daerah Miri, Siti Rohanie Yusof serta Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd. Farhan Lee Abdullah.-EDISI UKAS