Sambutan Luar Biasa Perlumbaan Bot Laju Pacu Tarikan Pelancong ke Bintangor
BINTANGOR: Pesta Meradong 2025 terus memperkukuh kedudukannya sebagai acara pelancongan sukan utama di daerah Meradong apabila Perlumbaan Bot Laju tahun ini mencatat jumlah penyertaan tertinggi sejak penganjurannya dimulakan.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata sambutan luar biasa tersebut dipacu oleh minat yang semakin meningkat daripada peserta luar, termasuk dari Bintulu hingga Limbang.
“Jumlah penyertaan kali ini adalah yang paling tinggi sejak kejohanan ini dianjurkan,” katanya semasa hadir menyaksikan perlumbaan berkenaan pada Ahad.
Menurut beliau, pertambahan penyertaan dan kehadiran ribuan penonton menyaksikan perlumbaan berkenaan turut dipacu oleh usaha penganjur memperkemas aspek perancangan dan penyelarasan teknikal bagi memastikan pertandingan berlangsung lebih lancar dan sistematik.
Dato Ir Yusuf berkata, kejohanan ini bukan sahaja menyemai nilai kesukanan dan kemasyarakatan, malah kini menjadi antara tarikan utama Pesta Meradong selepas memasuki tahun kedua penganjurannya.
“Penglibatan aktif agensi kerajaan, terutamanya dalam aspekteknikal, turut membantu melancarkan keseluruhan proses pertandingan,” ujarnya.
Beliau menambah, Pesta Meradong merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak untuk menarik kehadiran pengunjung sekali gus merancakkan semula ekonomi setempat.
“Kita amat mengalu-alukan penyertaan dari luar, dan sambutan menggalakkan terhadap perlumbaan kali ini membuktikan potensinya sebagai tarikan utama untuk menarik lebih ramai pengunjung ke Bintangor,” katanya lagi.
Sejak hari pertama, ribuan pengunjung mula membanjiri kawasan tebing Sungai Bintangor seawal jam 7.30 pagi.
Kehadiran mereka bukan sahaja dari Bintangor, tetapi juga dari Sarikei, Sibu dan kawasan berhampiran yang ingin menyaksikan perlumbaan sengit dalam suasana meriah Pesta Meradong.
Perlumbaan bot laju menjadi antara acara paling ditunggu-tunggu dalam Pesta Meradong yang menampilkan lapan kategori, antaranya ialah bot laju lima kuasa kuda, tunnel boat, bot piston tunnel 30 kuasa kuda, kelas pro 50 kuasa kuda serta kategori SST 60 dan 45 SS.-EDISI UKAS