Peranan Warga Emas Kekal Relevan Dalam Pembangunan Komuniti
MUKAH: Golongan warga emas kekal menjadi tulang belakang masyarakat apabila terus aktif dalam pelbagai program komuniti, membuktikan peranan mereka masih relevan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, golongan ini bukan sahaja aktif menggerakkan kumpulan mereka, bahkan turut melibatkan golongan muda serta masyarakat umum.
"Kita melihat contoh apabila Pesta Kaul, golongan ini akan menganjurkan Pertandingan Bermukun yang melibatkan semua golongan.
"Ia mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai termasuk golongan muda" katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan Majlis Penutupan Sambutan Hari Warga Emas PAWE Mukah, pada Ahad.
Sehubungan itu, katanya, warga emas mempunyai kepakaran dan pengalaman yang besar untuk disumbangkan kepada masyarakat.
Ujarnya, kehadiran mereka memperkukuhkan lagi program yang dilaksanakan di peringkat akar umbi.
Di samping itu, Royston menegaskan bahawa budaya menghormati orang tua bukan sekadar adat, tetapi asas kepada pembentukan komuniti yang harmoni.
"Generasi muda terutamanya, perlu mempunyai sikap menghormati orang yang lebih tua.
"Sikap ini juga perlu dipupuk sejak kecil agar mereka membesar menjadi anak yang menghormati orang tua dan peka dalam menjaga hubungan," jelasnya.
Royston turut menyeru agar pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memperluas kerjasama dengan PAWE bagi merangka lebih banyak program bermanfaat untuk golongan berkenaan.
Tambahnya, kerjasama antara NGO dan agensi penting untuk melahirkan masyarakat yang lebih harmoni, di samping memupuk semangat positif dalam kehidupan seharian.
Dalam pada itu, Royston mengumumkan pemberian geran berjumlah RM10,000 untuk PAWE Mukah bagi pelaksanaan aktiviti pada tahun hadapan.
Beliau berharap peruntukan tersebut dapat dimanfaatkan dengan baik, terutama untuk kesejahteraan warga emas serta pelaksanaan program yang memberi manfaat lebih luas melalui kerjasama pelbagai agensi.
Hadir sama, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah Dariel Thiong Yiew Seng dan Pengerusi PAWE Mukah Yahya Mat.-EDISI UKAS