BRAZIL: Sarawak terus memperkukuh aspirasi menjadi ‘Battery of ASEAN’ apabila Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty) mengadakan pertemuan strategik bersama Global Renewables Alliance (GRA) dan International Hydropower Association (IHA) bertempat di Brazil pada ahad, bagi meneroka peluang kerjasama baharu dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui.
Pertemuan itu diketuai Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni bersama pegawai MEESty dari Bahagian Perubahan Iklim dan Kelestarian, Sharifah Mordhiah Syeed Mohd Hussien serta Bahagian Tenaga, Nadzirah Bujang.
Perbincangan memberi fokus kepada usaha memperluas campuran tenaga negeri melalui teknologi hijau termasuk peluang projek baharu yang memanfaatkan sumber semula jadi Sarawak bagi menjamin keselamatan tenaga dan menyokong agenda tenaga bersih serantau.
Menurut Datuk Dr. Hazland, kerjasama ini boleh diperkukuh susulan pemeteraian Power Grid Agreement oleh Menteri-Menteri Tenaga ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Kuala Lumpur yang membuka ruang lebih luas kepada integrasi grid dan perdagangan tenaga rentas sempadan.
Beliau turut memaklumkan bahawa Sarawak dijemput menyertai Global Alliance for Pumped Storage, sebuah rangkaian antarabangsa yang berupaya memperkukuh penyimpanan tenaga skala besar dan mengukuhkan kedudukan negeri sebagai peneraju tenaga bersih serantau.
Selain itu, Sarawak turut menerima jemputan menghadiri World Hydropower Congress yang bakal berlangsung pada April 2027 di Australia, susulan penglibatan aktif negeri itu dalam edisi terdahulu yang menzahirkan komitmen terhadap agenda tenaga boleh diperbaharui global.
GRA dan IHA turut menyatakan minat untuk memperluas kerjasama melalui perkongsian kepakaran, teknologi dan penyelesaian tenaga baharu bagi menyokong aspirasi Sarawak mencapai sasaran tenaga hijau serta pelepasan sifar bersih.
Kerjasama berterusan antara Sarawak, GRA dan IHA dijangka melonjakkan keupayaan negeri dalam penjanaan tenaga, campuran kapasiti tenaga boleh diperbaharui, eksport serta pelaburan, sekali gus memacu penggunaan teknologi hijau dan merealisasikan visi Sarawak sebagai Battery of ASEAN.–EDISI UKAS