Akses Jalan Darat Dipertingkat, Manfaat Buat Komuniti Luar Bandar
SADONG JAYA: Kerajaan Sarawak komited memperluaskan jaringan jalan darat ke seluruh pelusuk wilayah ini bagi memastikan pembangunan dan kemajuan dapat dinikmati secara inklusif, khususnya masyarakat di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, usaha pembangunan infrastruktur di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, kini giat dilaksanakan secara besar-besaran termasuk pembinaan rangkaian jalan darat ke kawasan yang selama ini hanya boleh dihubungi melalui sungai dan perjalanan jauh.
“Sarawak merupakan negeri terbesar di Malaysia dan sebahagian masyarakat pernah berdepan kesukaran untuk ke kawasan bandar kerana ketiadaan rangkaian jalan, namun kini kerajaan telah mengatur perancangan menyeluruh bagi memastikan semua kawasan mempunyai akses jalan darat,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penangguhan Program Hari Bersama Komuniti Zon 4 Rangawan anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), yang berlangsung di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bulu Senangeh, di sini pada Ahad.
Tambah Datuk Dr. Abdul Rahman lagi, salah satu projek terbesar yang disifatkan sebagai pemangkin pembangunan adalah pembinaan jalan darat baharu sepanjang 142 kilometer di Baram, yang akan melalui kawasan hutan dan paya, bermula tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya dalam masa empat tahun.
“Apabila siap kelak, projek ini dijangka membuka Baram sepenuhnya dan menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi, akses perkhidmatan sosial serta peluang pembangunan masyarakat setempat,” ujarnya, sambil menegaskan bahawa pelaburan kerajaan dalam projek tersebut melibatkan kos yang besar namun sangat penting untuk masa depan Sarawak.
Selain itu, Datuk Dr. Abdul Rahman juga menegaskan bahawa pembangunan negeri hanya mampu dilaksanakan secara teratur apabila perpaduan rakyat terus dipelihara, selari dengan aspirasi kerajaan untuk membangunkan Sarawak secara seimbang dan inklusif.
“Rakyat Sarawak terkenal dengan semangat perpaduan. Walaupun berbeza kaum dan budaya, kita tidak terpisah. Perbezaan itu menjadi kekuatan dan inilah yang memudahkan agenda pembangunan negeri,” jelasnya lanjut.
Dalam ucapan sama, beliau turut memuji inisiatif UKAS menganjurkan program seumpamanya yang berperanan menyebarkan maklumat rasmi Kerajaan Sarawak kepada komuniti melalui pendekatan lapangan yang lebih dekat dengan rakyat.
Majlis penangguhan tersebut turut dihadiri Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin, Pengerusi Persatuan Komuniti Zon 4 Rangawan Rafendy Ariffen dan Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan Chek Bujang.-EDISI UKAS