200 Penduduk Hadir Sesi Penerangan Dokumentasi Tanah NCR di Kampung Riih Mawang
SERIAN: Seramai 200 penduduk Kampung Riih Mawang menghadiri sesi penerangan mengenai proses dokumentasi Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Bidayuh yang diadakan di Balai Raya Kampung Riih Mawang di sini pada Ahad.
Sesi ini dianjurkan bagi memberikan pemahaman yang lebih jelas kepada penduduk mengenai langkah-langkah yang terlibat dalam usaha mendokumentasikan tanah NCR melalui kaedah yang diperkenalkan oleh Dayak Bidayuh National Association (DBNA).
Majlis dimulakan dengan taklimat ringkas oleh Pengerusi DBNA Serian Dr. Chali Ungang mengenai objektif program serta menerangkan prosedur utama dokumentasi tanah NCR.
Menurutnya, antara prosedur yang dijalankan adalah kaedah pengukuran sempadan tanah secara komuniti (community mapping), kepentingan persetujuan bersama antara pemilik tanah, proses pengesahan oleh ketua kampung dan pemimpin masyarakat serta langkah-langkah untuk menyerahkan dokumen lengkap dari pihak DBNA kepada pihak berkuasa Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Serian untuk proses seterusnya.
“Usaha pendokumentasian ini merupakan inisiatif penting untuk memperkukuh kedudukan komuniti Bidayuh dalam mengekalkan hak tanah adat mereka,” katanya.
Ujarnya, program seperti ini juga dijangka membantu mengurangkan konflik tanah serta memudahkan perancangan pembangunan kampung pada masa hadapan.
Penolong Pegawai Tadbir Tanah JTS Serian Atin Rimpa, turut memberi penerangan mengenai sokongan JTS terhadap inisiatif berkenaan di mana dokumentasi dan penyukatan tanah melalui projek ini banyak membantu proses kerja pihak jabatan.
Beliau turut menegaskan penyukatan lot pertanian NCR di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri adalah sangat penting kerana lot-lot tersebut lebih berisiko berbanding lot kediaman yang lebih mudah dikenal pasti.
Selain itu ujarnya, proses tukar hak milik (probet) harus dirujuk kepada Pejabat Daerah sebelum dihantar ke JTS, manakala bagi urusan bukan probet, proses tersebut perlu melalui pihak guaman sebelum diserahkan untuk tindakan jabatan.
Penduduk turut berpeluang mengemukakan soalan berkaitan hak milik, sempadan, serta implikasi undang-undang yang melibatkan status NCR. -EDISI UKAS