Pasukan Bau Cops Ungguli Kejohanan Bola Tampar Piala YB Rodiyah Sapiee
GEDONG: Pasukan Bau Cops menampilkan aksi cemerlang apabila menjuarai kedua-dua kategori lelaki dan wanita dalam Kejohanan Bola Tampar Amatur Piala YB Rodiyah Sapiee Tertutup P200 Batang Sadong.
Dalam kategori wanita, pasukan Bau Cops muncul juara dan membawa pulang hadiah bernilai RM1,000 beserta piala dan medal diikuti naib johan yang dimenangi oleh PVT A yang menerima RM700 bersama piala dan medal.
Manakala Ensengge Queen dan PVT B masing-masing berkongsi tempat ketiga dengan hadiah RM300 serta medal.
Bagi kategori lelaki, Bau Cops sekali lagi mengungguli pertandingan apabila dinobatkan sebagai johan dan menerima RM1,500 berserta piala dan medal diikuti Pasukan Impian Selangau yang meraih naib johan dengan hadiah RM1,000 dan piala serta medal
Manakala tempat ketiga bersama menjadi milik PVT B dan SVT yang masing-masing membawa pulang RM500 serta medal.
Kejohanan selama dua hari itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee yang berlangsung di Padang Futsal Dewan Kampung Kanchong Baru di sini pada Ahad.
Berucap ringkas, Rodiyah menekankan kejohanan ini bukan sekadar perebutan piala semata-mata sebaliknya sebuah platform penting bagi memperkukuh kesihatan, persahabatan serta keupayaan teknikal para peserta.
Tambahnya, kejohanan ini juga berperanan besar membuka ruang kepada bakat baharu untuk menyerlah dalam bidang sukan.
“Ini merupakan acara pertama. Insya-Allah, saya akan sentiasa menyokong dan bekerjasama dengan Pusat Khidmat N.26 Gedong supaya piala ini dapat diteruskan sebagai acara tahunan.
“Hadiah dan penganjuran juga akan ditingkatkan tahun hadapan agar lebih ramai belia dapat menyertai,” jelas beliau.
Sebanyak 10 pasukan wanita dan 10 pasukan lelaki mengambil bahagian, melibatkan pasukan dari Kuching, Bau dan Serian menjadikan kejohanan ini antara program sukan komuniti terbesar di kawasan berkenaan. -EDISI UKAS