460 Wanita Sertai Program W.I.R.A, Pemangkin Kekuatan Komuniti di Lundu
LUNDU: Seramai 460 wanita dari 58 kampung sekitar kawasan Opar dan Daerah Lundu telah menyertai Program Wanita, Inspirasi, Realisasi dan Aksi (WIRA) yang berlangsung di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Lundu pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang menzahirkan rasa bangga terhadap semangat dan komitmen tinggi para wanita yang hadir, menggambarkan kesungguhan mereka untuk menimba ilmu, meningkatkan kemahiran serta memperkukuh peranan sebagai tulang belakang keluarga dan masyarakat.
“Semangat wanita untuk belajar, berubah dan memberi impak positif kepada masyarakat terus menyala kuat.
"Inilah semangat yang kita mahu dan biarlah ia terus membara,” ujar beliau.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan wanita merupakan agenda bersama yang memerlukan sokongan menyeluruh daripada pelbagai pihak dengan slogan ‘Wanita Perkasa, Keluarga Berjaya’ menggambarkan tanggungjawab semua bersama dalam membentuk masyarakat yang kuat dan sejahtera.
Program W.I.R.A menyediakan pelbagai pengisian meliputi bengkel kraftangan, seni hiasan bunga, pembuatan kuih tradisional, solekan dan dandanan rambut.
Turut dianjurkan ceramah kesihatan mental, latihan CPR serta sesi pendidikan komuniti bagi memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta.
Billy percaya ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini akan menjadi dorongan untuk para peserta melangkah lebih jauh dalam kehidupan dan peranan mereka di dalam keluarga serta komuniti. -EDISI UKAS