KUCHING: Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai usaha memperkukuh kebolehpasaran graduan serta memperluas peluang penempatan kerja di Sarawak.
Majlis pertukaran MoU berkenaan telah disaksikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Buckland Bangik bersama tetamu kehormat lain.
Ketua Pegawai Eksekutif SCOPE, Joseph Lim Jit Sek berkata, kerjasama strategik ini menjadi platform penting untuk memastikan graduan negeri mendapat akses lebih menyeluruh kepada latihan, pendedahan industri dan peluang kerjaya yang bersesuaian.
Melalui penyelarasan program latihan dan sokongan industri bersama PERKESO, laluan kerjaya graduan dapat diperkukuhkan.
“Kami berusaha mewujudkan laluan yang menyeluruh yang menghubungkan latihan, bakat dan peluang pekerjaan,” ujarnya ketika berucap dalam majlis berkenaan di sini, pada Isnin.
Beliau menambah bahawa SCOPE komited melahirkan graduan yang bukan sahaja bersedia untuk pekerjaan pertama mereka, tetapi turut memiliki daya tahan, kesediaan dan kebolehpasaran jangka panjang dalam pasaran kerja yang semakin mencabar.
Sementara itu, Pengarah PERKESO Negeri Sarawak, Tan Phang Chia, menegaskan komitmen PERKESO sebagai penyelia perkhidmatan pekerjaan kebangsaan untuk membantu graduan serta pencari kerja memasuki pasaran kerja dengan lebih berkesan.
“PERKESO sebagai penyelia perkhidmatan pekerjaan kebangsaan sangat komited membantu graduan kita untuk memastikan setiap yang keluar daripada institusi pengajian tinggi memperoleh pekerjaan yang setimpal,” katanya.
Menurut beliau, lebih 200 program kerjaya telah dianjurkan di seluruh Sarawak sepanjang tahun ini melalui platform MyFutureJobs, merangkumi karnival pekerjaan, temu duga terbuka serta program padanan kerjaya.
Tan turut menggalakkan graduan memanfaatkan pelbagai insentif yang ditawarkan, termasuk sokongan bagi mereka yang sanggup bekerja di luar kawasan kediaman.
Kerjasama ini diyakini akan menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja Sarawak yang lebih kompeten, berkemahiran dan inklusif, seiring aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Betrice Britney Dee
Foto: Betrice Britney Dee