Sarawak Hargai Persetujuan PM Tambah Kerusi Parlimen, Sedia Berunding Bila Dipanggil
KUCHING: Kerajaan Sarawak menghargai persetujuan Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Anwar Ibrahim untuk menambah kerusi Parlimen bagi Sarawak dan Sabah dalam usaha memperkukuh representasi wilayah-wilayah tersebut di peringkat Persekutuan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, langkah tersebut merupakan perkembangan positif dan Sarawak bersedia untuk meneruskan rundingan sekiranya dipanggil Kerajaan Persekutuan.
“Kita mengucap terima kasih kepada Perdana Menteri kerana bersetuju menambah kerusi Parlimen. Sama ada ia memenuhi sasaran satu per tiga, kita akan berundinglah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Hari Integriti Bank Pembangunan Sarawak atau Development Bank of Sarawak Bhd (DBOS) di Hotel Riverside, di sini, pada Isnin.
Datuk Patinggi Abang Zohari turut menegaskan, pelaksanaan penambahan kerusi itu tertakluk kepada keputusan Kerajaan Persekutuan dan Sarawak bersikap terbuka serta bersedia hadir ke meja rundingan pada bila-bila masa.
Terdahulu, memetik laporan media nasional, Perdana Menteri dalam satu program bersama media di Kota Kinabalu menjelaskan bahawa kerajaan secara dasar bersetuju menambah kerusi bagi Sabah dan Sarawak berdasarkan keperluan dan jumlah pengundi.
Namun, tiada komitmen buat masa ini untuk memenuhi nisbah satu per tiga daripada keseluruhan kerusi Parlimen.
Dato Seri Anwar turut menjelaskan bahawa jumlah sebenar kerusi adalah kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dan pihaknya telah mengarahkan Peguam Negara serta peguam negeri Sabah dan Sarawak memperhalusi perkara tersebut.
Pada masa ini, Sabah mempunyai 25 kerusi Parlimen, manakala Sarawak 31 kerusi.-EDISI UKAS