Lebih 50 Agensi Sertai Karnival TVET Sri Aman 2025
SIMANGGANG: Penganjuran Karnival Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Sri Aman 2025 melakar kejayaan besar apabila berjaya menghimpunkan lebih 50 agensi kerajaan dan swasta, sekali gus menarik kehadiran sekitar 5,500 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.
Karnival anjuran Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) sejak 14 November itu melabuhkan tirainya pada Ahad dengan Majlis Penyampaian Hadiah yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis.
Menurut beliau, penyertaan meluas daripada agensi sektor kewangan, minyak dan gas, pembuatan serta industri teknikal membuktikan ekosistem TVET di Sarawak semakin kukuh dan relevan, terutama dalam menyediakan peluang pendidikan dan kerjaya kepada generasi muda.
Majlis penutupan turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang pelbagai pertandingan, antaranya Team BTR Sarawak bagi e-Sport Mobile Legend, Universiti Putra Malaysia (Booth Sumpah Best), Pricilla Duya Stanley & Adricsmon Aermi (Pastri) dan banyak lagi dimana masing-masing membawa pulang hadiah RM500.
Turut hadir, wakil Residen Bahagian Sri Aman, Siti Haryanie Mohamad, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Sri Aman, Mohd Hamizan Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Fredick Kevin Buseli, serta wakil Pejabat Pendidikan Daerah Sri Aman, Bong Yu Wan.-EDISI UKAS