Masyarakat Diingat Cakna Teknologi Digital, Penipuan Dalam Talian
BUKIT MABONG: Masyarakat diingatkan agar sentiasa cakna dengan perkembangan teknologi digital khususnya risiko penipuan dalam talian.
Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak menekankan kepentingan kewaspadaan dalam penggunaan teknologi terkini khususnya kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang.
“Kita harus berhati-hati dengan teknologi moden, terutama AI kerana penipuan oleh scammer kini semakin canggih.
“Mereka boleh menyamar untuk mendapatkan akaun bank atau wang orang ramai melalui pelbagai cara dalam talian,” ujarnya.
Beliau berucap demikian semasa merasmikan Program One Stop Committee (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS) Peringkat Komuniti sempena Ekspedisi Bukit Mabong 2025 baru-baru ini.
Datuk Wilson yang juga Ahli Parlimen Hulu Rajang turut menegaskan bahawa isu-isu keselamatan digital ini akan dibawa ke perhatian pihak atasan bagi tindakan lanjut.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi mempertimbangkan cadangan projek penyambungan elektrik yang mencukupi dari klinik ke rumah panjang, serta menambah baik jalan raya sepanjang 7 kilometer di Setapang Tunoh.
Beliau turut menyumbang RM5,000 khas untuk kegunaan Biro Wanita Rh. Tani.-EDISI UKAS