Rukun Tetangga Gerakan Sosial Perkukuh Perpaduan Komuniti
MIRI: Rukun Tetangga (RT) kini berkembang menjadi gerakan sosial penting dalam membina keharmonian, menangani cabaran digital serta memupuk kerjasama masyarakat.
Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus ketika merasmikan Malam Solidariti Jubli Emas 50 Tahun RT Bahagian Miri yang berlangsung meriah di Eastwood Valley Golf & Country Club pada Ahad.
Beliau turut mengiktiraf komitmen RT Bahagian Miri yang aktif menganjurkan gotong-royong, program kebajikan dan rondaan keselamatan Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang disifatkannya sebagai kehadiran “omnipresence” dalam meningkatkan keselamatan setempat.
Dalam pada itu, beliau menyeru lebih ramai golongan belia dan wanita menyertai kepimpinan RT bagi memastikan perpaduan komuniti terus diperkukuh untuk generasi akan datang.
Majlis turut menyaksikan pelancaran Logo KRT Baharu serta penyampaian pelbagai anugerah seperti Anugerah Pengurusan RT Cemerlang, Anugerah SRS Paling Aktif dan Anugerah Jasa Emas Pengerusi RT.
Sambutan turut diserikan persembahan kebudayaan termasuk Sape, Tarian Jatti Miriek dan persembahan KRT setempat sebelum diakhiri sesi bergambar sebagai simbol perpaduan masyarakat Miri selaras aspirasi Malaysia MADANI.-EDISI UKAS