Acara Kucing Dunia Di Miri Tarik Minat Pencinta Haiwan Serantau
MIRI: Acara Feline Fanciers Federation World Show yang berlangsung di Boulevard Shopping Mall pada Ahad menjadi tumpuan pencinta haiwan apabila menghimpunkan lebih 150 peserta dari Sarawak, Sabah dan Brunei.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin yang menzahirkan penghargaan kepada penganjur kerana berjaya menganjurkan pertandingan bertaraf dunia dengan tersusun dan lancar.
Dato Sri Lee turut memuji kepakaran barisan hakim bertauliah dari China, Thailand, Hong Kong dan Malaysia yang menilai setiap penyertaan berdasarkan ciri fizikal, tingkah laku dan persembahan kucing secara adil serta profesional.
Kehadiran Presiden Dunia Persekutuan tersebut dari Hong Kong turut memberi nilai tambah, sekali gus mengukuhkan reputasi pertandingan ini di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, penganjuran pertandingan dunia seperti ini bukan sahaja menonjolkan keunikan, keagresifan dan disiplin latihan kucing yang dipertandingkan, malah mengeratkan hubungan dan semangat perpaduan antara peminat kucing dari pelbagai negara.
Acara tersebut turut menarik ramai pengunjung, khususnya keluarga dan pencinta haiwan yang berpeluang melihat pelbagai baka kucing yang sihat dan menarik.-EDISI UKAS