LAWAS: Karnival Usahawan Lawas 2025 terus menjadi pemangkin kepada pengukuhan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Sarawak seiring usaha kerajaan memperluas penyertaan rakyat dalam bidang keusahawanan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menegaskan komitmen kerajaan untuk melaksanakan pembangunan menyeluruh bagi meningkatkan pendapatan negeri, merancakkan ekonomi serta memastikan manfaatnya dirasai oleh semua kaum dan seluruh wilayah.
“GoDigital antara program yang diperkenalkan untuk memudahkan masyarakat meningkatkan pengurusan perniagaan.
"Penggunaan platform digital akan memperkukuh ekosistem pembangunan PMKS,” katanya semasa merasmikan majlis tersebut pada Isnin.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan
turut menyatakan bahawa kerajaan sedang giat mempertingkatkan sistem telekomunikasi, bukan sahaja untuk memudahkan urusan perhubungan, pendidikan dan kesihatan, tetapi juga membantu usahawan memasarkan produk melalui video, pengiklanan serta platform media sosial.
Dalam pada itu, akses kepada bantuan perniagaan yang disediakan pelbagai agensi kerajaan dan swasta telah menyokong pelaksanaan Program Jum REGISTA yang memberi tumpuan kepada usahawan informal.
“Ini adalah skim bantuan kerajaan yang tertumpu kepada PKS kerana ia merupakan tulang belakang ekonomi negara, khususnya dalam menyediakan peluang pekerjaan.
"Kita mahu perusahaan ini berkembang, sebab itu program REGISTA diwujudkan,” jelasnya.
Kerajaan turut menyediakan pelbagai infrastruktur perniagaan bagi menyokong pertumbuhan PMKS, termasuk Lawas Industrial Estate Fasa 1 & 2, Anjung Usahawan di Lawas, Sundar, Trusan dan Kuala Lawas, serta pusat pemprosesan di Awat-Awat dan Punang.
Setakat ini, 64 peratus lot industri Fasa 1 telah diluluskan kepada syarikat tempatan, manakala 30 lot masih dibuka untuk permohonan.
Dalam majlis itu, Datuk Amar Awang Tengah turut menyerahkan replika cek kepada penerima bantuan keusahawanan melibatkan lima skim utama iaitu GERAK: 55 penerima (RM387,700), USTEV: 22 penerima (RM119,650), SPIKS: 2 penerima (RM300,000), SKMS: 158 penerima (RM4.09 juta) dan GoDigital: 4 penerima (RM40,000).
Karnival Usahawan Lawas yang berlangsung selama dua hari ini turut menampilkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta, termasuk Majlis Islam Sarawak, NGO seperti PERKIM, serta syarikat swasta Andalusia Travel and Tour Sdn Bhd, sekali gus memperkukuh ekosistem pembangunan usahawan di daerah ini.-EDISI UKAS