Laluan Berbumbung Bakal Manfaatkan Murid SK Ulu Segan
BINTULU: Projek menaik taraf laluan pejalan kaki menghubungkan PPR Bandaria Park ke Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Segan dijangka memberi manfaat besar kepada lebih 60 peratus murid sekolah berkenaan yang tinggal di kawasan itu.
Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Shahrezy Sulaiman berkata, projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) itu merangkumi pembinaan bumbung susur gajah serta pondok menunggu demi memastikan keselamatan dan keselesaan murid ketika berulang-alik ke sekolah.
“Kita telah turun padang bagi meninjau projek RTP melibatkan pembinaan bumbung laluan pejalan kaki yang menghubungkan Bandaria Park ke SK Ulu Segan.
“Kemudahan ini penting untuk memastikan murid tidak terkena hujan dan pada masa sama mengelakkan risiko tergelincir atau terjatuh,” katanya ketika ditemui selepas tinjauan tapak pada Rabu.
Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa komponen tambahan dirancang bagi memanfaatkan sepenuhnya peruntukan yang disediakan.
“Kita menambah sedikit pembinaan berbanding pelan asal termasuk bumbung menuju ke jalan pagar depan,” ujarnya.
Projek bernilai kira-kira RM200,000 itu dijangka memberi impak langsung kepada murid-murid SK Ulu Segan, terutamanya mereka yang berjalan kaki dari Bandaria Park.
Shahrezy berharap projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual sekali gus menyediakan laluan yang lebih selesa dan selamat untuk kegunaan murid pada masa akan datang.-EDISI UKAS