Senator Michael Mujah Salur Dana Buat Penduduk Uma Balui Ukap
BELAGA: Ahli Dewan Negara, Senator Michael Mujah Lihan mengumumkan dana berjumlah RM25,000 kepada penduduk kawasan Uma Balui Ukap di Sungai Asap di sini.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM10,000 disalurkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Uma Balui Ukap, manakala RM5,000 lagi kepada Biro Wanita.
“Selain itu, RM10,000 lagi adalah bagi membantu pembinaan mercu tanda ‘Bato Kalo’ sebagai simbolik mengenang penempatan lama masyarakat ketika masih menetap di Ulu Balui yang akan disalurkan melalui peruntukan hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-26 Penempatan Uma Balui Ukap, di sini, pada Selasa.
Menyentuh mengenai program itu, beliau menmberitahu ianya memberi ruang kepada masyarakat untuk menilai perjalanan yang telah dilalui, menghargai jasa dan pengorbanan generasi terdahulu dan dalam masa yang sama merancang masa depan yang lebih cerah.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar penduduk terus berusaha meningkatkan taraf hidup keluarga dengan mencontohi kejayaan mereka yang aktif dalam bidang pertanian, khususnya penanaman kelapa sawit yang menjadi sumber pendapatan utama di kawasan ini.
Hadir sama, Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Sungai Asap Sylvester George serta barisan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK). -EDISI UKAS