Penglibatan Syarikat Besar Diperlukan Perkasa Projek Jelapang Padi Sarawak
SRI AMAN: Penglibatan syarikat-syarikat besar amat diperlukan bagi memperkasakan projek pengeluaran beras berskala besar di jelapang padi seluruh Sarawak termasuk Tanjung Bijat.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, ini demi memperhebatkan lagi usaha pengeluaran beras dalam kalangan pesawah di negeri ini.
“Kita haruslah mencari pihak-pihak yang memiliki kapasiti, potensi dan rangkaian pasaran yang besar untuk melaksanakannya.
"Maka dari sinilah munculnya peranan seperti syarikat Advansia (Sarawak) dalam melaksana projek penanaman padi berskala besar (di Tanjung Bijat) dan juga syarikat-syarikat lain seperti di Sekinchan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Hari Ladang Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Batang Lupar di Tanjung Bijat di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Dato Sri Dr Stephen Rundi juga menggesa pesawah untuk melakukan perubahan dalam aktiviti pertanian mereka termasuk penggunaan teknologi dan keadah moden seperti yang dilakukan oleh petani di Jepun, Vietnam dan Thailand.
Ujarnya, perubahan ini secara tidak langsung dapat membantu memperkasakan lagi usaha penghasilan beras dalam negeri ini bagi menyumbang kepada keselamatan makanan negara.
Terdahulu, Program SMART Sawah Berskala Besar di Sarawak telah pun dilaksanakan secara rintis di bawah seliaan IADA Batang Lupar dengan usahasama strategik syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dan Advansia (Sarawak) membabitkan kawasan seluas 83 hektar di Blok C, Tanjung Bijat semenjak bermula Luar Musim tahun 2021.
Projek ini melibatkan seramai 202 orang pesawah dengan musim kedua tahun 2023 menyaksikan projek perintis berkenaan mencatat purata tuaian sekitar 5.5 tan per hektar berbanding 2.8 tan per hektar berbanding tahun sebelumnya dengan menggunakan padi varieti MR269. -EDISI UKAS