Perkhidmatan Awam Terus Jadi Pemacu Transformasi Sarawak Menuju 2030
KUCHING: Perkhidmatan Awam Sarawak terus diiktiraf sebagai pemacu utama kejayaan pembangunan negeri ini apabila kecekapan, disiplin dan komitmen penjawat awam berjaya meletakkan Sarawak di landasan kukuh menuju 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, antara pencapaian terbesar termasuk hasil negeri tertinggi dalam sejarah serta status ekonomi berpendapatan tinggi yang dicapai lebih awal daripada sasaran.
Menurut beliau, kejayaan tersebut adalah hasil kerja bersepadu antara Perkhidmatan Awam Sarawak dan Persekutuan dalam memastikan dasar kerajaan diterjemahkan dengan cekap, telus serta memberikan impak sebenar kepada rakyat.
“Tahun lepas, Sarawak mencatatkan anggaran hasil tertinggi dalam sejarah, berjumlah RM14.2 bilion serta ditambah pula dengan pengiktirafan berterusan Bank Dunia terhadap Sarawak sebagai ekonomi berpendapatan tinggi, tujuh tahun lebih awal daripada sasaran 2030 kami, ini menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan pertumbuhan mampan dan inklusif.
“Pencapaian ini mencerminkan pengurusan fiskal yang kukuh, perancangan yang berdisiplin, tadbir urus yang berkesan dan pelaksanaan yang kukuh oleh Perkhidmatan Awam Sarawak,” katanya semasa menyampaikan amanat dalam Sambutan Hari Perkhidmatan Awam 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Khamis.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, kejayaan tersebut turut membolehkan Sarawak melangkah dengan yakin ke fasa baharu pembangunan berasaskan inovasi dan teknologi tinggi selaras dengan hala tuju Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Beliau dalam pada itu menjelaskan pelancaran cip keteq.GaN oleh Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor membuktikan bahawa Sarawak kini muncul sebagai pemain penting dalam industri teknologi maju dan tidak lagi bergantung kepada ekonomi berasaskan komoditi.
"Ekosistem yang dibangunkan oleh Perkhidmatan Awam Sarawak telah meletakkan asas kukuh bagi industri masa depan, dengan teknologi semikonduktor, ekonomi digital, tenaga hijau dan inovasi menjadi pemacu baharu yang mentransformasi struktur ekonomi negeri," ujarnya lagi.
Beliau juga menjelaskan bahawa menjelang pelaksanaan Fasa Kedua PCDS 2030 pada tahun hadapan, peranan perkhidmatan awam akan menjadi semakin kritikal untuk memastikan visi pembangunan negeri dapat dicapai secara berkesan, tuntas dan terancang.
“Matlamat kita besar iaitu untuk mencapai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai RM282 bilion menjelang 2030 serta meningkatkan taraf hidup rakyat di seluruh pelosok negeri.
“Ini menuntut kolaborasi merentas semua jabatan, pendekatan inovatif serta kepimpinan berasaskan nilai di setiap peringkat pentadbiran,” ujarnya.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) mewakili Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr. Mohd Bakhari Ismail, Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan, Ketua-ketua jabatan Persekutuan dan Sarawak.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Jurufoto: Muhammad Rais Sanusi