3R Teras Transformasi Perkhidmatan Awam Sarawak Menuju 2030
KUCHING: Perkhidmatan Awam Sarawak perlu memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi melalui rangka kerja 3R iaitu Revisit, Rethink, Recharge sebagai teras transformasi dalam memastikan negeri ini mencapai status wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki menegaskan bahawa persekitaran ekonomi global yang mencabar menuntut perkhidmatan awam yang lebih cekap, responsif dan berorientasikan rakyat.
“Kita bukan sahaja melaksanakan dasar kerajaan, tetapi menjadi pemacu utama transformasi Sarawak.
"Tempoh menuju 2030 semakin singkat, maka keberanian untuk menilai semula cara kerja adalah sangat penting," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan aluan sempena Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Sarawak 2025 bertemakan “Leading with Excellence: Sarawak Civil Service’s Path Forward” di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) pada Khamis.
Perasmian HPA Sarawak 2025 disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menambah, penjawat awam perlu 'Revisit' iaitu menilai semula keberkesanan sistem, mengenal pasti halangan dan memperbaiki proses.
'Rethink' pula ujarnya merangka strategi lebih strategik dan berpandangan jauh, manakala 'Recharge' katanya memperkukuh kapasiti, kepimpinan, penggunaan data serta kesiapsiagaan digital.
Beliau turut mengingatkan bahawa transformasi bukan sekadar melibatkan sistem dan polisi, tetapi juga pemikiran dan budaya kerja.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar turut menekankan kepentingan membudayakan inovasi dalam kalangan penjawat awam, selaras dengan tuntutan masyarakat dan pemegang taruh yang semakin kompleks.
“Kita ada ramai pegawai daerah, jurutera, juruteknik, guru, petugas kesihatan dan frontliners yang menjadi tulang belakang pembangunan Sarawak. Mereka ialah ‘success stories’ kita," katanya lagi.
Majlis HPA 2025 turut menyaksikan Premier Sarawak melancarkan Buku Prinsip 3R Perkhidmatan Awam Sarawak, yang menghimpunkan amalan terbaik, kisah kejayaan serta aplikasi 3R dalam pemerkasaan tadbir urus negeri.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menjelaskan buku itu mencerminkan bagaimana penjawat awam di semua peringkat telah menerjemahkan prinsip 3R ke dalam tindakan nyata, termasuk kejayaan digitalisasi, peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan, inovasi dalam pelaksanaan projek dan impak langsung kepada komuniti.
“Transformasi sebenar tidak terletak pada sistem atau dokumen ia terletak pada manusia. Majulah Perkhidmatan Awam Sarawak, Majulah Sarawak,” ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Asfia Awang Nasar, barisan Menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) mewakili Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr. Mohd Bakhari Ismail, Setiausaha Persekutuan Sarawak (SUPS), Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan, Ketua-ketua Jabatan serta penjawat awam negeri dan Persekutuan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh : Maryam Zanariah Ibrahim
Foto : Raiz