Lawatan Pemeriksaan Akhir SK Kampung Baru Berjalan Lancar, Penyerahan Kunci Dijangka Dalam Masa Terdekat
KAPIT: Projek pembinaan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru semakin hampir diserahkan kepada pihak sekolah selepas lawatan pemeriksaan akhir dijalankan hari ini sebagai langkah terakhir sebelum proses penyerahan kunci.
Pemeriksaan tersebut melibatkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kapit, Jabatan Kerja Raya (JKR), kontraktor pelaksana, serta pentadbiran dan guru-guru SK Kampung Baru.
Lawatan ini bertujuan memastikan semua fasiliti dan struktur bangunan disiapkan mengikut spesifikasi, berada dalam keadaan baik serta selamat untuk digunakan.
Antara aspek yang diberi perhatian termasuk struktur bangunan, kerja kemasan, sistem pendawaian elektrik, bekalan air bersih, keadaan tandas, pemasangan alat keselamatan kebakaran, laluan kecemasan serta kemudahan asas lain.
Pemeriksaan turut dibuat pada bilik darjah, blok pentadbiran, makmal dan ruang sokongan bagi memastikan semua fungsi berjalan seperti yang dirancang.
Pemeriksaan terperinci yang dilaksanakan ini membolehkan sebarang kekurangan dikenal pasti dan diperbetulkan sebelum penyerahan rasmi dilakukan.
Usaha ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyediakan prasarana pendidikan yang lebih selesa, kondusif dan selamat demi keselesaan murid serta warga SK Kampung Baru. -EDISI UKAS