UMAMI 2025 Lahirkan 10 Usahawan Makanan Baharu, Gerakkan Inovasi Kulinari di Miri
MIRI: Seramai 10 peserta berjaya menamatkan latihan intensif Program Usahawan Makanan Miri (UMAMI) 2025 yang dijalankan selama 10 minggu.
Mereka antara bakal usahawan makanan yang bakal mewarnai industri kulinari di bandaraya ini.
Majlis penutupan rasmi yang berlangsung di TEGAS Digital Innovation Hub, Miri pada Khamis itu dianjurkan oleh SAGO Group dengan sokongan Hong Leong Foundation.
Turut hadir ialah wakil kepada Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Dato Sebastian Ting Chiew Yew, iaitu Chia Kah Furng serta Pengarah SAGO Group, Arif Abdul Rahman.
Dalam ucapan yang dibacakan oleh wakil beliau, Dato Sebastian merakamkan ucapan tahniah kepada semua peserta UMAMI 2025 sambil menegaskan bahawa pembangunan bakat tempatan dalam sektor F&B adalah selari dengan pertumbuhan pesat Miri yang sedang bergerak ke arah pendigitalan dan pemodenan.
Beliau berkata, lebih 30 sesi pembelajaran membabitkan modul pengetahuan perniagaan, inovasi makanan dan latihan praktikal telah memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta untuk menyesuaikan diri dengan kehendak pasaran masa kini.
“Program seperti UMAMI menyediakan platform penting untuk membantu bakat tempatan membina keyakinan, kemahiran dan rangkaian sokongan yang sering kali sukar diperoleh oleh pengusaha kecil.
"Kreativiti makanan yang dipersembahkan hari ini membuktikan potensi besar yang dimiliki peserta,” katanya.
Majlis penutupan turut menyaksikan pelancaran rasmi inisiatif Community-Powered Catering untuk pasaran Miri, iaitu model kolaboratif yang menghubungkan usahawan UMAMI dengan peluang katering dari acara kecil hingga berskala besar, sekali gus meningkatkan pendapatan dan mengetengahkan cita rasa tempatan.
Program UMAMI 2025 turut menerima sokongan pelbagai rakan strategik antaranya TEGAS Digital Innovation Hub, Mercure Miri City Centre, Curtin University Malaysia, Sinang Food, MYY Mall, Kebaya Story, RIAMTEC dan Pustaka Miri.
Memasuki tahun kedua penganjurannya, program itu merupakan inkubator keusahawanan makanan yang memberi fokus kepada komuniti B40 dan golongan terpinggir di Miri. - EDISI UKAS