Jejak Integriti 2025 Platform Perkukuh Budaya Integriti dan Ketelusan
SRI AMAN: Program Jejak Integriti Daerah Sri Aman, Pantu dan Lingga 2025 menjadi usaha berterusan untuk memperkukuh budaya integriti dalam komuniti perkhidmatan awam, masyarakat dan sektor penyampaian perkhidmatan di daerah ini.
Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Charlie Keling berkata program anjuran Pentadbiran Bahagian Sri Aman itu bertujuan menyebarluaskan amalan pengurusan integriti, mengekalkan jati diri, meningkatkan kualiti kerja serta memperkukuh tadbir urus yang mantap dalam kalangan kontraktor tempatan.
Selain itu, katanya, pelaksanaan program berkenaan juga bertujuan memperkasa integriti serta jati diri dalam kalangan ahli Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Wanita Bahagian Sri Aman sebagai tulang belakang sokongan komuniti melalui peranan kepimpinan wanita yang semakin penting.
Sejajar dengan objektif tersebut, Charlie menyeru semua penjawat awam, agensi bukan kerajaan, badan bukan kerajaan, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan kontraktor dari tiga daerah terbabit agar memainkan peranan dalam melaksanakan dasar serta memastikan setiap projek pembangunan dijalankan secara telus.
"Program pada hari ini bukan sekadar acara tahunan sebaliknya adalah usaha berterusan untuk memperkukuh budaya integriti dalam komuniti perkhidmatan awam, masyarakat, dan sektor penyampaian perkhidmatan di daerah kita.
"Justeru, program seperti Jejak Integriti ini sangat penting sebagai ruang untuk kita mengingatkan diri bahawa nilai amanah, ketelusan dan tanggungjawab mesti sentiasa dipelihara," katanya semasa merasmikan program tersebut di Dewan Suarah Sri Aman, di sini, pada Khamis.
Program bertemakan ‘Integriti Teras Kemajuan Sarawak’ itu melibatkan penyertaan 350 peserta dan 21 pempamerdaripada agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri, agensi bukan kerajaan, guru, institusi pengajian tempatan, bank, kontraktor, MAKSAK Wanita serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari Pantu, Sri Aman dan Lingga.
Program bermula jam 8 pagi itu turut diselitkan dengan ceramah Integriti “Garis Panduan Pengurusan Hadiah untuk Perkhidmatan Negeri Sarawak”, Forum Integriti “Buli Bukan Budaya Kita”, cabutan bertuah serta ceramah Pengukuhan Integriti bersama kontraktor-kontraktor dari ketiga-tiga daerah terlibat.
Turut diadakan ialah taklimat “Self-Defense for Working Women”, aktiviti Pengukuhan Berpasukan untuk RANDO Sri Aman, penyampaian hadiah kepada pemenang serta sesi bergambar.
Hadir sama, Walikota Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) Anthony Abell Chendan, Pegawai Daerah Sri Aman Shariff Bujang, Ketua Pusat Kos Tanggungjawab Mahkamah Sri Aman Intan Nurul Farena Zainal Abidin, Setiausaha Majlis Daerah Siburan Hiu Kee Sing serta Pegawai Tadbir Unit Integriti Bahagian Sri Aman Josephine Thomas.-EDISI UKAS