1,464 Penduduk Mukah Terima Bantuan Air Bersih Susulan Kemarau
MUKAH: Seramai 1,464 penduduk di kawasan Bukit Inkerbai dan Lubok Bemban menerima bantuan bekalan air bersih susulan fenomena kemarau yang melanda daerah ini sejak tiga minggu lalu.
Operasi penghantaran bantuan yang bermula seawal jam 9.00 pagi pada Rabu melibatkan pengagihan sebanyak 2,928 kotak air minuman kepada penduduk terjejas.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,320 kotak diagihkan kepada 660 penduduk di Bukit Inkerbai, manakala 1,608 kotak lagi disalurkan kepada 804 penduduk di Lubok Bemban.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, keadaan cuaca kering ketika ini meningkatkan risiko kebakaran dan memerlukan kewaspadaan semua pihak.
Beliau menegaskan orang ramai perlu mengelakkan pembakaran terbuka kerana keadaan panas dan kering boleh menyebabkan api merebak dengan cepat serta mengancam keselamatan.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya memberi perhatian terhadap aspek kesihatan, khususnya risiko dehidrasi dan strok haba.
Menurutnya, penduduk dinasihatkan menggunakan air yang telah dimasak atau dirawat bagi mengelakkan penyakit bawaan air, selain memastikan pengambilan air mencukupi serta mengurangkan aktiviti luar ketika cuaca panas terik, terutama melibatkan kanak-kanak dan warga emas.
Beliau turut menyeru masyarakat agar sentiasa bersiap-siaga dan mengamalkan semangat kerjasama komuniti dalam menghadapi situasi mencabar akibat perubahan cuaca.
Sementara itu, Pegawai Daerah Mukah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah (JPBD) Mukah, Peleadzman Ahip berkata, keadaan kemarau berpunca daripada ketiadaan hujan selama kira-kira tiga minggu.
Katanya, situasi itu telah menjejaskan sumber bekalan air di beberapa kawasan termasuk Bukit Inkerbai, Lubok Bemban, Nanga Sikat, Ulu Sebakong dan Tanjung Pedada.
“Bantuan ini melibatkan 307 buah rumah dengan 436 Ketua Isi Rumah (KIR),” katanya.
Menurut beliau, antara lokasi yang mencatatkan jumlah penduduk terjejas tertinggi ialah Rumah Blansai Anak Suka di Lubok Bemban dengan 174 orang, diikuti Rumah Gurusin Michael Timbang di Nanga Taroh seramai 149 orang.
Tambahnya, kelulusan bantuan dibuat segera selepas menerima permohonan daripada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum, dengan kerjasama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) bagi menyelaraskan penghantaran bekalan air bersih.
Operasi bantuan itu dilaksanakan secara bersepadu melibatkan Pejabat Daerah Mukah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mukah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah serta Unit Pengurusan Bantuan Bencana PKMB Mukah.
Turut hadir, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah, Dariel Thiong Yiew Seng serta pegawai Pejabat Daerah Mukah, Tracy Penggang.- EDISI UKAS