55 Bas Hidrogen Lengkapkan KUTS, Operasi Rintis Bermula Hujung Tahun
KUCHING: Operasi rintis Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) dijangka bermula menjelang penghujung tahun ini, dengan Sarawak Metro merancang untuk mengoperasikan sejumlah 55 unit bas feeder berkuasa hidrogen bagi melengkapkan sistem tersebut.
Pengarah Komunikasi Korporat, Program SEED dan Hubungan Bumiputera Sarawak Metro, Alexius Barieng berkata bas hidrogen pertama dijangka tiba pada bulan September.
“Ini akan menyusuli ketibaan unit Autonomous Rapid Transit (ART) yang dijangka tiba sekitar pertengahan tahun ini.
“Menjelang hujung tahun, kita akan memulakan operasi rintis bagi kedua-dua sistem ini,” katanya ketika ditemui semasa mengetuai delegasi Sarawak Metro dalam kunjungan hormat kepada Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan di ibu pejabat UKAS, di Baitulmakmur, Petra Jaya, pada Rabu.
Katanya, selain memperkenalkan teknologi pengangkutan tanpa pelepasan karbon, Sarawak Metro juga menekankan pembangunan modal insan tempatan melalui Program Pembangunan Sosioekonomi (SEED).
Menurut beliau, program tersebut melibatkan penghantaran perantis muda ke China bagi menjalani latihan industri selama empat minggu, sekali gus memberi pendedahan secara langsung terhadap proses pembuatan dan teknologi sistem pengangkutan moden.
“Peserta program ini akan menjalani latihan selama empat minggu di China untuk memperoleh pengetahuan secara langsung dalam proses pembuatan.
“Kumpulan pertama akan berlepas pada pertengahan April, diikuti kumpulan kedua sekitar Mei,” jelasnya.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2020, seramai 40 perantis telah menyertai program tersebut dan kini telah diserap sebagai kakitangan tetap Sarawak Metro, memainkan peranan penting dalam pelaksanaan projek KUTS.
Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Pengurus Kanan Promosi & PR Sarawak Metro, Alwana Ishak, Pengurus Kanan Media, Komunikasi Korporat, Program SEED & Hubungan Bumiputera, Letitia Samuel dan Penolong Pengurus Media, Kuan Thai Far. -EDISI UKAS