LIMBANG: Seramai 54 murid berkeperluan khas dari pelbagai sekolah sekitar Limbang tampil menyerlahkan bakat masing-masing dalam Program OKU Got Talent Peringkat Bahagian Limbang 2025, yang berlangsung di Dewan Bunga Raya, di sini pada Rabu.
Program anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan kerjasama Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Wanita Bahagian Limbang itu dirasmikan oleh Timbalan Residen Bahagian Limbang, Marie Cotilla Louise @ Rosita Kulai dan menghimpunkan 165 orang peserta, guru, ibu bapa serta pengunjung.
Acara pertandingan merangkumi Nyanyian Solo (10 peserta), Aerodance (6 kumpulan) dan Pertandingan Peragaan Pakaian (14 pelajar), selain pameran serta jualan hasil seni pelajar OKU.
Penyertaan melibatkan sekolah di daerah ini termasuk PPDK Limbang, SMK Sri Patimbun, SMK Kubong, SK Sungai Poyan, SK Menuang, SK Melayu Pusat dan SK Limpaki.
Dalam ucapan perasmiannya, Marie menegaskan bahawa program seumpama ini bukan sekadar pertandingan, sebaliknya platform penting bagi mencungkil potensi dan bakat golongan OKU.
Katanya, setiap peserta memiliki keistimewaan dan kualiti tersendiri yang wajar diberikan ruang untuk diketengahkan, selaras dengan aspirasi negara dalam membentuk masyarakat inklusif.
Beliau turut menyeru agar semua pihak termasuk ibu bapa, penjaga, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta terus menyokong pembangunan bakat murid OKU serta menyediakan infrastruktur yang kondusif bagi memastikan kemahiran mereka dapat terus digilap.
Program ini dilihat menjadi pemangkin kepada usaha memperkasa komuniti OKU melalui pendedahan, keyakinan diri dan peluang untuk bersaing di peringkat lebih tinggi pada masa akan datang.-EDISI UKAS