Fasiliti SK St. Anthony Dinaik Taraf di Bawah Dana RTP
BINTULU: Usaha menaik taraf kemudahan pendidikan di Bintulu terus diperkukuh di bawah pelaksanaan projek transformasi luar bandar (RTP).
Projek naik taraf di sekolah berkenaan melibatkan pembaikan pentas dewan, pembaharuan siling pentas serta pengubahsuaian bilik sains yang mengalami kerosakan.
Bagi memastikan kelancarannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming telah melakukan lawatan tapak ke Sekolah Kebangsaan St. Anthony bersama Pusat Khidmat Masyarakat SUPP Bintulu serta wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Residen Bintulu.
Menurut Johnny Pang, permohonan tersebut dikemukakan pihak sekolah berikutan keadaan pentas kayu yang semakin uzur dan menimbulkan risiko keselamatan ketika digunakan untuk pelbagai acara rasmi dan program sekolah.
“Sebahagian besar aktiviti besar sekolah termasuk majlis anugerah, program akademik dan aktiviti luar bilik darjah, bergantung kepada penggunaan dewan.
“Dengan pembaikan pentas ini, keselamatan pelajar, guru dan para tetamu dapat dipastikan,” katanya semasa ditemui pemberita.
Beliau turut memaklumkan bahawa bilik sains sekolah akan dibaik pulih sepenuhnya termasuk penggantian peralatan rosak, pintu dan tingkap yang tidak lagi berfungsi, setelah permohonan pihak sekolah diluluskan melalui peruntukan RTP.
Johnny Pang menegaskan bahawa pendidikan adalah sektor paling wajar diberi perhatian dan kerajaan Sarawak komited untuk terus gmemperkasa usaha mendapatkan autonomi pendidikan bagi memastikan pembangunan pendidikan negeri dapat dilaksanakan lebih berkesan serta memenuhi keperluan sebenar rakyat.-EDISI UKAS