SCSDU Rangkul Dua Anugerah Berprestij Sempena HPA Sarawak 2025
KUCHING: Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam (SCSDU) terus membuktikan keupayaannya sebagai peneraju transformasi digital kerajaan negeri apabila berjaya meraih dua anugerah berprestij sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Sarawak 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Khamis.
SCSDU diumumkan sebagai penerima Anugerah AKPANS iaitu Pingat Emas serta Anugerah Utama Premier Sarawak dan membawa pulang hadiah wang berjumlah keseluruhan RM70,000.
Pencapaian berganda ini sekali lagi mengiktiraf komitmen serta inovasi pasukan SCSDU dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam melalui penggunaan teknologi digital yang lebih cekap, responsif dan berimpak tinggi.
Kejayaan itu turut mencerminkan usaha berterusan unit tersebut dalam menyokong agenda transformasi digital Sarawak seiring aspirasi Kerajaan Negeri menuju ekonomi berpendapatan tinggi berasaskan teknologi menjelang 2030.
Selain itu, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) telah berjaya meraih Sijil Projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) menerusi projek bertajuk Digitalisasi Penguatkuasaan: Notis Kompaun Dipendekkan Dari 30 Hari ke 1 Hari.
Pengiktirafan ini menzahirkan keupayaan DBKU melaksanakan reformasi efektif bagi mempercepat proses penguatkuasaan melalui transformasi digital yang lebih cekap dan responsif.-EDISI UKAS
Disediakan oleh : Maryam Zanariah Ibrahim
Foto : Raiz