Sarawak Muncul Antara Negeri Terawal Laksana Pelan Tindakan Deklarasi Kuala Lumpur 2024
KUCHING: Sarawak muncul antara negeri terawal di Malaysia yang mengadaptasi pelan tindakan Deklarasi Kuala Lumpur 2024, sekali gus membuktikan komitmen tinggi kerajaan negeri dalam memperkukuh tadbir urus, mempercepat digitalisasi serta memantapkan penyampaian perkhidmatan awam.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, penglibatan awal Sarawak dalam pelaksanaan deklarasi tersebut menzahirkan sikap proaktif kerajaan negeri serta keseriusan untuk menterjemahkan reformasi pentadbiran kepada tindakan nyata.
“Saya berbesar hati dan bangga kerana nama Sarawak termasuk dalam negeri terawal yang mengadaptasi pelan tindakan deklarasi ini.
“Ini menunjukkan komitmen Sarawak bukan sekadar kata-kata, tetapi diterjemahkan kepada tindakan,” katanya semasa berucap dalam Sambutan Hari Perkhidmatan Awam 2025 yang telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Khamis.
Menurut beliau, Deklarasi Kuala Lumpur 2024 yang dimeterai pada November tahun lalu menekankan lima komitmen nasional, termasuk mempercepat digitalisasi kerajaan, memperkukuh integriti dan tadbir urus, penstrukturan semula sistem sumber manusia, penyampaian perkhidmatan yang berfokus rakyat serta penyelarasan tadbir urus projek secara lebih berkesan.
Tan Sri Shamsul Azri menambah, deklarasi tersebut menjadi tekad bersama untuk memacu pembaharuan perkhidmatan awam demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.
Selain itu, beliau turut menekankan bahawa hubungan erat antara Persekutuan dan Sarawak yang terjalin sejak pembentukan Malaysia pada 1963 adalah asas penting kepada keberhasilan pelbagai dasar serta pembangunan negeri.
Menurutnya, kerjasama dua hala yang kukuh ini telah membolehkan pembangunan infrastruktur, pendidikan, perkhidmatan awam dan pembangunan modal insan dilaksanakan secara lebih menyeluruh merentas Sarawak.
Tan Sri Shamsul Azri juga memuji usaha Kerajaan Sarawak yang kini mengaplikasikan pendekatan 3R iaitu Revisit, Rethink dan Recharge dalam transformasi perkhidmatan digital secara ‘Whole-of- Government’ termasuk inisiatif-inisiatif seperti SarawakPass, SPay Global, dan penggunaan teknologi terkini.
“Ia menunjukkan bagaimana transformasi digital mampu mempercepatkan penyampaian perkhidmatan serta meningkatkan ketelusan dan keberkesanan tadbir urus Kerajaan Sarawak,” ujarnya.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) mewakili Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr. Mohd Bakhari Ismail, Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan, ketua-ketua jabatan Persekutuan dan Sarawak.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Jurufoto: Muhammad Rais Sanusi