Bina Keyakinan Dan Kepercayaan Rakyat Terhadap Perkhidmatan Awam Sarawak - Dr. Azhar
KUCHING: Peranan penjawat awam hari ini bukan sekadar melaksanakan tugas hakiki, tetapi juga membina keyakinan rakyat pada perkhidmatan awam di Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif Leadership Institute of Sarawak Civil Service Datu Dr. Azhar bin Ahmad berkata, ke arah itu kita perlu memberikan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan awam.
“Di mana sahaja penjawat awam berada sama ada di bandar dan di luar bandar di seluruh pelusuk Sarawak, setiap orang daripada kita mempunyai tanggungjawab tersebut.
“Bekalkan diri kita dengan ilmu pengetahuan, jaga kesihatan dan pastikan kita berkhidmat dengan penuh integriti. Itu adalah ramuan-ramuan yang sangat kita perlukan untuk memastikan perkhidmatan awam di negeri Sarawak ini dipercayai dan diberikan keyakinan di mata rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Penagguhan Kursus Induksi Perkhidmatan Awam Sarawak Kumpulan 1 Siri 4 di sebuah hotel di sini pada Jumaat.
Ujarnya lagi, latihan yang diberikan di dalam kursus ini mengingatkan penjawat awam sentiasa bertanggungjawab dan amanah, berintegriti, berdisiplin, cekap dan amanah serta bersedia untuk belajar.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia Dr. Intan Rahmah Mohd Tazuddin mengingatkan setiap penjawat awam agar perlu sentiasa peka, faham dan meningkatkan pengetahuan diri di dalam organisasi, sentiasa memajukan diri, dan menjaga kesihatan.
“Anda semua mesti sentiasa peka, faham dan tingkatkan diri di dalam organisasi tempat di mana kita bertugas. Sekiranya anda benar-benar memahami tugas dan tanggungjawab dalam agensi baharulah dapat menjadi penjawat awam yang efektif.
“Penjawat awam juga tidak boleh berada di gred yang sama dalam tempoh yang lama. Sebaliknya, anda perlu sentiasa memajukan diri melalui ilmu pengetahuan. Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia ada menyediakan hadiah-hadiah latihan dalam perkhidmatan. Peluang untuk penjawat awam sentiasa terbuka kepada sesiapa yang rajin berusaha.
“Seterusnya, penjawat awam perlu menjaga kesihatan di mana hidup sihat dan bahagia adalah harapan semua orang. Tetapi, ini tidak akan terjadi sekiranya anda tidak menjaga diri sendiri. Penjagaan diri ini meliputi fizikal, mental dan emosional. Sebagai penjawat awam perlu menjaga kesihatan dan anda boleh berkhidmat untuk rakyat,” katanya.
Ujar lagi, selain itu, penjawat awam perlu terus kekal berintegriti dan berdisiplin bagi memastikan insiatif Kerajaan Sarawak dapat direalisasikan untuk rakyat.
Disediakan oleh: Awang Mohamad Razif bin Awang Yusuf