SKS Jadi Platform Kerajaan Nilai Maklum Balas, Tingkat Perkhidmatan
KUCHING: Maklum balas rakyat yang dikumpulkan menerusi Program Sarawakku Sayang (SKS) di seluruh Sarawak akan dinilai secara terperinci bagi mengenal pasti langkah penambahbaikan dasar dan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg berkata, pelaksanaan SKS dari utara hingga selatan Sarawak berjaya menerima pelbagai maklum balas positif, khususnya berkaitan dasar pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan awam.
“Dari utara hingga ke selatan, kita menerima banyak maklum balas yang menunjukkan masyarakat mengiktiraf apa yang telah kita laksanakan dalam dasar pendidikan, kesihatan dan juga perkhidmatan yang diberikan oleh pegawai-pegawai kita kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Kuching di Metrocity, Matang pada Selasa.
Menurut beliau, maklum balas berkenaan akan diteliti bersama pegawai perkhidmatan awam sebelum mereka mengemukakan taklimat kepada kerajaan mengenai tindakan susulan yang perlu dilaksanakan.
Beliau menyifatkan pelaksanaan SKS sebagai satu kejayaan berdasarkan maklum balas yang diterima, sekali gus membuktikan kepentingan pendekatan turun padang dalam memahami keperluan masyarakat.
“Ini merupakan satu kejayaan kerana kita menerima maklum balas. Langkah seterusnya ialah menggunakan maklum balas tersebut untuk dinilai bersama pegawai berkaitan secara terperinci sebelum mereka memberi taklimat kepada kita mengenai tindakan yang perlu diambil,” katanya.
Tambah beliau, penilaian berkenaan turut menjadi sebahagian daripada usaha memastikan pelaksanaan dasar kerajaan sehingga 2030, khususnya menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), terus mencapai matlamat yang ditetapkan.
Katanya, selain memberi tumpuan kepada sasaran pembangunan ekonomi negeri, kerajaan mahu memastikan mutu perkhidmatan awam terus dipertingkatkan agar rakyat dapat menikmati manfaat pembangunan yang dilaksanakan.- EDISI UKAS