DBKU Digesa Manfaatkan Data Aduan Rakyat, Perkukuh Inovasi Perkhidmatan
KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) digesa memanfaatkan data aduan rakyat sebagai asas mengenal pasti kelemahan proses kerja dan merangka penambahbaikan lebih berkesan bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, aduan yang diterima perlu dianalisis bagi mengenal pasti isu berulang, punca permasalahan serta langkah penambahbaikan yang boleh dilaksanakan, bukan sekadar diselesaikan secara berasingan.
Menurutnya, DBKU merekodkan 4,502 maklum balas dan aduan dari Januari hingga Oktober 2026, dengan lebih separuh diterima melalui aplikasi pesanan, manakala penyelenggaraan parit mencatatkan 623 maklum balas, kira-kira 15 peratus daripada jumlah keseluruhan.
“Jika aduan yang sama diterima beberapa kali, tanya mengapa. Jika terdapat kelemahan dalam proses kerja, cuba ringkaskan,” katanya ketika berucap merasmikan Minggu Inovasi dan Integriti DBKU 2026 pada Khamis.
Tambah beliau, data tersebut boleh dimanfaatkan untuk menilai keberkesanan kaedah penyelenggaraan sedia ada, mengenal pasti lokasi yang kerap berdepan masalah serta menentukan tindakan yang perlu diberi keutamaan.
Beliau turut menegaskan bahawa penggunaan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI), boleh membantu menganalisis aduan, mengenal pasti corak permasalahan dan lokasi yang kerap terjejas, namun pertimbangan serta tanggungjawab membuat keputusan perlu kekal di tangan manusia dengan berpegang kepada prinsip integriti.
“Inovasi tidak semestinya melibatkan perubahan yang besar. Kadang-kadang perubahan kecil dalam proses kerja sudah mampu menjimatkan masa pegawai dan memudahkan keputusan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyarankan setiap jabatan mengenal pasti sekurang-kurangnya satu ruang penambahbaikan dalam penyampaian perkhidmatan, mengenal pasti punca, menguji penyelesaian serta mengukur keberkesanannya bagi memastikan inovasi yang dilaksanakan menghasilkan manfaat kepada rakyat.
Minggu Inovasi dan Integriti DBKU 2026 yang membawa tema “Cemerlang Berinovasi, Teguh Berintegriti” turut menampilkan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) DBKU 2026, dengan pembentangan tujuh projek inovasi daripada enam jabatan di bawah pentadbiran DBKU.
Projek berkenaan merangkumi penambahbaikan kaedah pemasangan besi wire mesh dalam pembinaan parit konkrit bertetulang, proses pengeluaran notis kompaun, sistem pendaftaran acara, pelaporan masalah kemudahan tandas awam, kaedah penangkapan anjing, proses kelulusan lesen iklan papan iklan di premis persendirian serta kaedah pembersihan kolam hiasan.
Konvensyen itu turut menjadi platform mempersiapkan kumpulan KIK DBKU untuk menyertai pertandingan di peringkat kementerian dan SCSICA pada 2028, selain mengenal pasti projek berpotensi untuk diketengahkan ke Malaysia Technology Expo (MTE) 2027.
Turut hadir Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman dan Pengarah DBKU, Ramzi Abdillah. -EDISI UKAS