Gelanggang Tenis Diteliti Bagi Persediaan Sukan SEA 2027
KUCHING: Penilaian terhadap kemudahan, keselamatan dan keperluan operasi venue tenis menjadi antara fokus lawatan pemeriksaan bagi memastikan persiapan pertandingan Sukan SEA Ke-34 Malaysia 2027 berjalan lancar.
Lawatan ke venue Persatuan Lawn Tennis Sarawak (SLTA) pada Khamis diketuai Presidennya, Dato Patrick Liew Chin Joon, yang turut memberi penerangan mengenai kemudahan sedia ada serta keperluan bagi penganjuran pertandingan tenis pada temasya berkenaan.
Sebanyak 13 gelanggang tersedia di venue itu, dengan pemeriksaan turut melibatkan perbincangan mengenai aspek logistik, kemudahan sokongan, keselamatan serta aliran pergerakan ketika pertandingan berlangsung.
Penelitian berkenaan bertujuan mengenal pasti keperluan yang masih belum dipenuhi, selain merancang penambahbaikan bersesuaian supaya venue dapat memenuhi keperluan pertandingan dan memastikan kelancaran operasi sepanjang Sukan SEA nanti.
Dato Patrick yang telah memegang jawatan Presiden Persatuan Lawn Tennis Sarawak selama 31 tahun turut berkongsi pandangan mengenai persiapan venue, termasuk perkara yang perlu diberi perhatian bagi memastikan kemudahan dapat dimanfaatkan secara optimum sepanjang temasya.
Turut menyertai lawatan itu ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Khairul Nizam Morshidi serta wakil jabatan dan agensi berkaitan yang terlibat dalam penyelarasan persiapan venue.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Mia Amira Jalil
Foto: Gabriel Rommy