Tayangan Perdana Filem “Azimat”Serlah Keupayaan Karya Berkualiti Anak Sarawak
KUCHING: Tayangan perdana filem Azimat menyerlahkan keupayaan penghasilan karya berkualiti oleh anak Bumi Kenyalang apabila filem seram psikologi itu dipertontonkan secara eksklusif di TGV Vivacity pada malam Jumaat.
Pengerusi Faradale Media-M Sdn. Bhd., Dato Norhyati Ismail menyifatkan Azimat merupakan bukti kekuatan penceritaan tempatan serta komitmen tinggi pasukan produksi.
“Sarawak penuh dengan cerita dan penuh dengan bakat. Ini adalah salah satu cerita yang perlu kita tonjolkan,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi rasa bangga melihat hasil kerja keras pasukan disambut dengan tayangan penuh, menggambarkan semangat kerjasama serta potensi besar pembuatan filem muda tempatan.
Sementara itu, Pengarah filem Azimat, Kayzee Cortez Karim berkata, filem berkenaan dihasilkan dengan pengisian emosi yang mendalam, berasaskan tema yang mencerminkan perjuangan dalaman yang sering dihadapi golongan muda.
“Azimat lebih daripada sebuah filem seram. Ia adalah cerminan,” katanya
Beliau turut menjelaskan bahawa perjuangan senyap watak utama sengaja ditonjolkan bagi menggambarkan tekanan, ketakutan dan beban yang tidak terungkap dialami ramai orang.
Selain itu, genre seram memberi ruang kepada penonton untuk menzahirkan kebenaran yang sukar diungkapkan secara langsung, menjadikan filem ini bukan sahaja penuh suspens tetapi juga empati.
Tayangan perdana itu menerima reaksi positif daripada para penonton yang memuji usaha pasukan bagi mengangkat naratif tempatan.— EDISI UKAS
Disediakan oleh: Betrice Britney Dee & Alezxandria Kapple
Foto: Betrice Britney Dee & Alezxandria Kapple