Kilat Sting Terpilih Sertai Program Realiti Anjuran Boxxtomoi Asia
KUCHING: Atlet muay thai Sarawak yang semakin mencipta nama, Mohammad Nurizman melangkah setapak lagi dalam kariernya apabila terpilih untuk menyertai program realiti anjuran Boxxtomoi Asia dengan kerjasama strategik Desaru Coast sebagai penaja utama.
Nurizman atau popular dengan gelaran Kilat Sting merupakan petinju yang mewakili Kelab Muaythai Sting Kuching.
Penyertaan ini bukan sekadar penghargaan kepada beliau, malah menandakan satu pencapaian penting buat komuniti muay thai tempatan yang semakin berkembang dan semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.
Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak, Jumaat Ibrahim menyambut baik penyertaan peserta dari Kelab Muaythai Sting Kuching, Sarawak dalam program realiti ini sambil menyifatkannya sebagai satu perkembangan positif dan memberi impak besar terhadap promosi sukan muay thai di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
“Pendedahan seperti ini bukan sahaja memperkukuhkan imej muaythai, malah menepis persepsi negatif bahawa muay thai adalah sukan ganas.
“Sebaliknya, muay thai merupakan platform membina disiplin, memperbaiki potensi diri, meningkatkan keyakinan serta membuka laluan kepada pembangunan atlet dalam pelbagai dimensi,” katanya ketika dihubungi.
Beliau menambah bahawa sukan muay thai turut menjadi medium yang menyatukan masyarakat berbilang kaum dan budaya, selari dengan nilai keharmonian dan perpaduan yang ingin diketengahkan oleh pihak persatuan.
Program ini bermula dengan siri pengenalan dan penggambaran dari 21 hingga 26 November ini di Desaru Coast, Johor.
Sepanjang tempoh ini, peserta dari Malaysia dan antarabangsa mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti, rakaman, cabaran serta pengisian program yang membina karakter dan naratif untuk rancangan realiti tersebut.
Siri tersebut akan berakhir dengan sidang media rasmi pada 26 November bagi memperkenalkan barisan atlet dan hala tuju program.
Sementara itu, perlawanan rasmi bagi siri realiti ini dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 26 Januari 2026 di Desaru Coast dan bakal menampilkan penyertaan atlet tempatan serta antarabangsa.
Ini sekaligus meletakkan program ini sebagai sebuah platform prestij yang memberi pendedahan global kepada bakat-bakat muaythai negara.
Dalam masa yang sama, Desaru Coast melalui kerjasama rasmi ini, menyatakan hasrat komitmen jangka panjang mereka dalam membangunkan kawasan tersebut sebagai hab sukan antarabangsa, khususnya dalam segmen sukan tempur dan pelancongan sukan.
Usaha ini selaras dengan aspirasi Desaru Coast untuk menjadi destinasi bertaraf dunia bagi acara sukan, pelancongan, dan hiburan — sekali gus menarik lebih ramai pelancong, pelabur serta penganjur acara dari seluruh dunia.
Penganjuran program realiti ini adalah langkah awal yang strategik yang bukan sekadar acara sukan, tetapi platform media, pelancongan dan kandungan digital yang memperlihatkan keindahan Desaru Coast sambil mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan sukan yang kompetitif.
Melalui kerjasama dengan Boxxtomoi Asia sebagai penganjur, program ini dijangka menjadi pemangkin kepada lebih banyak penganjuran antarabangsa, termasuk kejohanan dunia, kem latihan atlet profesional, serta festival sukan berimpak tinggi. - EDISI UKAS