SK Rancangan Sepupok Siap, Perkukuh Infrastruktur Pendidikan Luar Bandar di Niah
MIRI: Siapnya projek gantian penuh Sekolah Kebangsaan (SK) Rancangan Sepupok bernilai RM25 juta menjadi pemangkin kepada pemerkasaan infrastruktur pendidikan luar bandar di Niah, sekali gus meningkatkan akses dan kualiti pembelajaran bagi komuniti setempat.
Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Sibuti, Dato Lukanisman Awang Sauni berkata, projek tersebut bukan sahaja menggantikan sekolah daif, malah menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan lengkap selari dengan keperluan pendidikan semasa.
Menurut beliau, projek yang siap sepenuhnya pada 28 Februari lalu itu kini menunggu proses penyerahan rasmi oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Tambahnya, kemudahan asas termasuk bekalan elektrik telah disambung sepenuhnya, menandakan kesiapsiagaan sekolah untuk beroperasi dalam masa terdekat.
Beliau menjelaskan bahawa projek tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif menaik taraf sekolah daif di Parlimen Sibuti di bawah peruntukan RM1 bilion, dengan SK Rancangan Sepupok disifatkan sebagai antara projek terbaik yang dilaksanakan.
Katanya, pembangunan itu dijangka mengubah landskap pendidikan di Sepupok, Niah dengan menyediakan kemudahan lengkap termasuk bilik darjah, rumah guru, asrama pelajar serta kemudahan sokongan lain.
Dalam masa sama, beliau turut menekankan elemen pendigitalan apabila mengumumkan geran khas bagi pemasangan televisyen pintar (smart TV) di setiap kelas bagi menyokong kaedah pembelajaran lebih interaktif dan moden.
Selain itu, geran bagi pembinaan gelanggang turut disediakan, manakala permohonan pembinaan padang akan dikemukakan bagi melengkapkan kemudahan sekolah.
Tambah beliau, sekolah tersebut dijangka memberi manfaat kepada penduduk dari kira-kira 16 rumah panjang serta kawasan sekitarnya, sekali gus merapatkan jurang pembangunan pendidikan antara bandar dan luar bandar.
Sehubungan itu, beliau berharap proses pemindahan dan pengoperasian sekolah dapat dilaksanakan dengan lancar agar manfaat pembangunan ini dapat dinikmati sepenuhnya oleh pelajar dan komuniti setempat dalam masa terdekat.-EDISI UKAS