SMK Tebakang Cipta Sejarah Wakili Serian Ke Pentas Global Di Jakarta
SERIAN: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebakang bakal mencipta sejarah apabila seramai sembilan pelajarnya akan mewakili sekolah dan daerah Serian dalam dua program inovasi bertaraf antarabangsa iaitu World Cup Innovation 2026 (IWC2026) dan International Invention Innovation Competition 2026 (I3C2026) yang dijadual berlangsung di Universiti Negeri Jakarta, Indonesia dari 2 hingga 7 Jun depan.
Penyertaan itu menjadikan SMK Tebakang sebagai antara sekolah dari luar bandar yang berani tampil bersaing di peringkat global, sekali gus mengharumkan nama Bahagian Serian di persada antarabangsa.
SMK Tebakang akan menghantar tiga pasukan dalam kategori inovasi iaitu NeuroNova, CodeWave dan Vellfire Team, yang bakal membentangkan idea inovatif masing-masing berpotensi memberi impak kepada masyarakat global.
Ahli Parlimen Serian, Dato Sri Richard Riot Jaem berkesempatan menyampaikan sumbangan kewangan kepada sembilan pelajar terbabit sebagai tanda sokongan terhadap penyertaan mereka ke pertandingan antarabangsa tersebut dalam satu majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat SMK Tebakang, pada Khamis.
Dalam pada itu, Pengetua SMK Tebakang, Benjamin Spencer Latif berkata, ini merupakan satu sejarah besar dalam tempoh 51 tahun penubuhan SMK Tebakang, apabila sekolah ini berjaya menyertai pertandingan global dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Malah sebelum ini, pelajar sekolah ini turut menyertai program di India pada 2025, namun penyertaan kali ini membawa makna lebih besar kerana melibatkan pertandingan inovasi bertaraf dunia,” katanya.
Tambahnya, penyertaan tersebut bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar untuk menimba pengalaman antarabangsa, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan budaya inovasi dalam kalangan pelajar luar bandar.
Menurutnya, usaha itu juga diharap mampu memberi inspirasi kepada sekolah-sekolah lain untuk berani mencabar diri di peringkat global serta membuktikan pelajar luar bandar juga mampu bersaing di pentas dunia.
Benjamin merakamkan penghargaan kepada Dato Sri Richard Riot atas sokongan dan sumbangan yang diberikan kepada para pelajar, sambil berharap kontinjen sekolah itu mampu memperoleh kejayaan serta membawa pulang trofi ke Malaysia pada 7 Jun nanti. -EDISI UKAS